Melaka lulus pelantikan 1,422 guru KAFA SRA JAIM secara kontrak

Melaka meluluskan pelantikan 1,422 guru KAFA SRA JAIM secara kontrak khas dan penyelarasan elaun perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Foto Bernama
Melaka meluluskan pelantikan 1,422 guru KAFA SRA JAIM secara kontrak khas dan penyelarasan elaun perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari lepas. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Melaka meluluskan pelantikan 1,422 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) secara kontrak khas dan penyelarasan elaun perkhidmatan sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi keputusan yang diluluskan dalam Majlis Masyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 10 Mei dan disahkan pada 17 Mei lepas itu, peruntukan tambahan berjumlah lebih RM3.49 juta perlu ditanggung kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 505 guru SRA JAIM lantikan selepas 2016 akan menerima emolumen secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan iaitu kenaikan emolumen sebanyak RM500 sebulan berbanding emolumen hanya RM1,000 sebulan sebelum ini.

"Sebanyak 917 guru SRA JAIM lantikan sebelum 2016 juga akan menerima emolumen secara pukal mengikut emolumen akhir yang diterima pada 2023 sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan MMKN Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata, garis panduan, syarat dan terma perkhidmatan akan ditetapkan oleh JAIM dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Katanya, keputusan berkenaan diambil bagi memperkasakan pendidikan agama Islam di negeri itu dan menjaga kebajikan guru agama, menyelesaikan isu status pelantikan guru SRA JAIM yang tidak diperakui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengikut kaedah pelantikan sebelum ini selain memastikan emolumen diterima guru SRA JAIM mematuhi kadar gaji minimum ditetapkan kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, kajian penyuraian trafik sedang dilaksanakan secara berperingkat di sembilan persimpangan di negeri itu bermula dari Klinik Kesihatan Masjid Tanah hingga Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.

Beliau berkata, antaranya ialah persimpangan Klinik Kesihatan Masjid Tanah, persimpangan Bandar Baru Masjid Tanah (Petronas), persimpangan Solok Duku, persimpangan Flyover Cheng di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA), persimpangan Stadium Hang Jebat dan persimpangan MITC di Lebuh SPA.

Katanya selain itu, kajian 'No Right Turn' juga akan turut dilaksanakan di persimpangan Stadium Hang Jebat selama sebulan bermula 3 Julai depan sebagai tempoh percubaan.

"Persimpangan Stadium Hang Jebat akan ditutup sementara sepanjang tempoh percubaan dan inisiatif ini dilakukan bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Lebuh SPA dari persimpangan Ayer Keroh ke persimpangan Flyover Cheng dan sebaliknya.

"Pengguna yang hendak ke Stadium Hang Jebat dan kawasan sekitar dari Ayer Keroh perlu menggunakan pusingan U di bawah Flyover Cheng," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, cuti pelepasan am bagi Melaka sempena Sambutan Hari Perisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah pada 15 April setiap tahun yang diwartakan sebelum ini akan dijadikan sebagai cuti pelepasan am sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia dan tarikh berkenaan dipinda pada 20 Februari setiap tahun. - Bernama