Langkah tepat pindah projek infrastruktur kecil ke jabatan lain

Laporan muka depan Sinar Harian.
Laporan muka depan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah memindahkan projek infrastruktur kecil di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke jabatan lain atau pejabat daerah satu keputusan tepat khususnya bagi memudahkan perancangan serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, dengan melaksanakan perkara itu, projek-projek infrastruktur kecil dapat diselaras pejabat daerah sekali gus mengurangkan beban kerja JKR.

"Apa yang amat diperlukan oleh rakyat Sabah, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar ialah pembangunan terutama melibatkan kemudahan awam, justeru semua pihak wajar memandang serius saranan Perdana Menteri itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Isnin lepas, Anwar ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun 2023 berkata, projek-projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar yang kini di bawah seliaan JKR, akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.

Mengulas perkara sama, Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman berkata, pihaknya tetap bersedia mengikut arahan diberikan untuk melaksanakan sebarang projek walaupun projek-projek berskala kecil ini akan diserahkan kepada jabatan lain.

"Kemungkinan ada projek-projek kecil yang dijalankan sendiri oleh jabatan lain terutama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan negeri kerana mereka mempunyai Unit Kejuruteraan masing-masing.

"Bagaimanapun kadangkala JKR juga ada menerima permintaan daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan negeri untuk memantau projek daripada jabatan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya sedang menunggu penjelasan lanjut daripada JKR negeri berkaitan jenis projek infrastruktur yang akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.

Keputusan sama dicapai Sarawak sebelum ini apabila Anwar pada Januari lepas mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan kerajaan negeri untuk meluluskan dan melaksanakan projek Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga dilaporkan berkata, menerusi pengumuman itu, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.09 bilion kepada Sarawak melalui JKR untuk melaksanakan 92 projek di bawah Rolling Plan ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Bagi tahun ini, sejumlah RM795.71 juta diluluskan untuk pelaksanaan infrastruktur darat dan sungai, projek bangunan kerajaan dan awam, dan setakat April lepas sebanyak RM93.77 juta atau 12 peratus daripada jumlah itu telah digunakan,” katanya.

Beliau berkata, JKR Sarawak juga telah diamanahkan untuk menyelenggara 7,091 kilometer jalan kampung yang didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di negeri itu.

"Pada masa ini, JKR Sarawak melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran berdasarkan ‘As and When Required Basis’ untuk jalan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, keputusan itu dilihat dapat menjadikan setiap projek lebih sesuai dan tepat dengan keperluan sesuatu jabatan apabila ia dikendali mereka sendiri.

"Mungkin selepas ini ada keperluan dan kehendak jabatan yang lebih difahami, jadi jabatan itu menjadi end user sendiri menjadikan sesebuah projek itu lebih efisien dan cepat disiapkan.

"Begitu juga untuk sesebuah projek dipindahkan ke pejabat daerah, mungkin ada sesetengah projek itu lebih difahami kerana mereka tahu tentang pembangunan di daerah tersebut,” katanya.

Namun, beliau berpendapat walaupun projek-projek berkenaan dipindahkan, perlu dilaksanakan pemantauan khususnya dari aspek teknikal terutama membabitkan struktur bangunan kerana ia merupakan kepakaran JKR. - Bernama