Kemuka surat permohonan dua muka surat untuk pinjam RM3.95b

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd (SRC International) hanya mengemukakan surat permohonan dua muka surat bagi memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata surat yang bertarikh 3 Jun 2011 dan ditandatangani oleh Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil itu memohon pinjaman bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata surat berkenaan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Ishak: Biasakah anda lihat surat permohonan pinjaman daripada KWAP dengan hanya dua mukasurat?

Amirul Imran: Pernah tetapi tidak biasa.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP berkata, ia berdasarkan salinan surat berkenaan yang diterima dari ketuanya Arwah Ahmad Norhisham Hassan pada Jun 2011.

"Kebiasaannya, sebarang permohonan untuk pinjaman wang memerlukan banyak lagi dokumen tambahan namun dalam perkara ini, tiada dokumen yang diterima KWAP, namun Panel Pelaburan KWAP membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau tidak pinjaman RM1 bilion kepada SRC bagi tujuan working capital (modal pusingan) dan general investments (pelaburan am)," katanya.

Sehubungan itu, Amirul Imran berkata, beliau menghantar satu e-mel kepada Nik Faisal Ariff bagi memohon dokumen berhubung permohonan pinjaman itu pada 29 Jun 2011.

Beliau berkata ia termasuk dokumen sokongan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku penjamin dan SRC International; profil korporat; strategi perniagaan dan butiran pelaburan, laporan audit tahunan, unjuran aliran tunai dan penyata pengurusan akaun terkini.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, pada 1 Julai 2011, beliau menerima e-mel daripada Nik Faisal Ariff menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat mengemukakan dokumen dipohon kerana maklumat itu memerlukan kebenaran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah dan Najib selaku Perdana Menteri.

Katanya, pada tarikh sama beliau diarahkan Ahmad Norhisham untuk menyediakan kertas cadangan bagi kelulusan Panel Pelaburan bagi pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja kepada SRC tetapi menunda keputusan sehingga mendapat maklumat lanjut.

Menjawab soalan lain Ishak, Amirul Imran berkata, KWAP kemudian meluluskan pinjaman RM2 bilion secara terus kepada SRC kerana ia merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB dan juga kerana pinjaman akan bersandarkan jaminan kerajaan pada 19 Julai 2011 atas kelulusan Ahli Panel Pelaburan Khas dan Datuk Azian Mohd Noh selaku Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.

"Saya kemudian telah melihat "Letter of Guarantee Relating To The Islamic Term Financing Facility of RM2 bilion Granted to SRC International Sdn Bhd" bertarikh 26 Ogos 2011 yang merupakan surat jaminan Kerajaan Malaysia yang ditandatangai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah," katanya.

Saksi itu berkata, KWAP juga ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 22 Ogos 2011 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC bagi pinjaman RM2 bilion untuk tempoh 10 tahun bagi membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

“Kadar pembiayaan (faedah pinjaman) adalah pada kadar tetap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) tahun campur 100 mata asas untuk tiga tahun pertama.

"Bermula pada tahun keempat, pinjaman adalah berdasarkan kepada kadar MGS 10 tahun campur tujuh puluh mata asas yang akan ditetapkan setiap tahun pada tarikh ulang tahun pengeluaran.

Bayaran balik faedah pinjaman ini dibayar oleh SRC bagi tempoh setiap enam bulan pada jumlah lebih kurang RM50.8 juta dengan kadar faedah 4.65 peratus setahun.

Bayaran pokok bermula pada tahun keenam berdasarkan jadual pembayaran yang terkandung dalam Schedule Six, Facility Agreement bertarikh 26 Ogos 2011," katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia