NGO kesal RUU kawalan produk merokok tidak jadi dibentang

Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Komuniti Selamat meluahkan kekesalan berhubung Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang tidak jadi dibentang di Parlimen baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selagi RUU tersebut tidak dibahas, ia akan menunda usaha menghalang jualan produk tersebut termasuk vape dalam kalangan generasi muda.

Jelas beliau, isu berkenaan patut dilihat secara serius kerana masalah masa hadapan anak muda untuk terlibat dengan vape tidak dapat diatasi.

“Banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang kesal dengan tindakan kerajaan semalam yang ingin mengkaji semula hal tersebut.

“Vape ini, walaupun hadir dengan bauan wangi seperti buah strawberi, kopi, dan sebagainya tetapi ia tetap mempunyai kandungan nikotin yang boleh mengakibatkan ketagihan dan mengundang masalah kesihatan terhadap pemuda dan pemudi kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Ujar beliau, perkara tersebut diambil kira selepas menerima maklum balas menerusi sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.

Beliau memaklumkan, melalui sesi pada minggu lalu itu ahli JKPK Kesihatan, selain ahli parlimen, badan profesional, NGO mahukan beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan lebih lanjut.

Dalam pada itu, Lam Thye menggesa agar pihak kerajaan menyegerakan pembentangan RUU ini bagi membolehkan seramai mungkin anak muda diselamatkan dari bahaya produk merokok demi kesihatan awam.

“Saya juga turut ingin menyeru semua ahli Parlimen untuk menyokong tindakan ini sekali gus membolehkan RUU ini diluluskan dengan segera demi masa depan Malaysia yang lebih sihat,” tambah beliau.