Penternak dakwa lembu dalam kandang pun disita

Sekumpulan penternak menyertai perhimpunan aman di hadapan MDKpr pada Isnin.
Sekumpulan penternak menyertai perhimpunan aman di hadapan MDKpr pada Isnin.
A
A
A

KAMPAR - Sekumpulan penternak lembu dan kerbau mempersoal prosedur operasi tangkapan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendakwa haiwan ternakan mereka yang berada dalam kandang dan kawasan persendirian turut disita.

Wakil penternak, Mohamad Yusof Yasin, 65, berkata, keadaan itu dihadapi hampir 150 penternak di kawasan Kampar dan Tapah sejak beberapa tahun lalu hingga mengakibatkan mereka menanggung kerugian yang tinggi.

Mohamad Yusof bercakap kepada pemberita pada Isnin.
Mohamad Yusof bercakap kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sewajarnya berlaku kerana boleh memberi tanggapan salah guna kuasa dalam kalangan anggota dan penguat kuasa.

"Kami tidak nafikan ada juga tangkapan melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalanan. Itu kami akur apabila dikenakan tindakan.

"Tetapi dalam kes seperti ini, penguat kuasa seolah mengambil kesempatan dengan menjalankan operasi sama ke atas haiwan yang berada di kawasan persendirian termasuklah dalam kandang milik penternak.

"Sekiranya penternak patuh kepada peraturan, kami berharap agar penguat kuasa PBT juga bertindak di bawah lingkungan undang-undang," katanya kepada pemberita ketika menyertai perhimpunan aman di Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di sini pada Isnin.

Mohamad Yusof bersama 150 penternak lembu dan kerbau menyertai perhimpunan aman di hadapan MDKpr pada Isnin.
Mohamad Yusof bersama 150 penternak lembu dan kerbau menyertai perhimpunan aman di hadapan MDKpr pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes terbaru melibatkan seorang penternak di Kampar pada 23 April lalu apabila dua kerbau didapati hilang dari kandang.

Katanya, hasil pemeriksaan berdasarkan rakaman video yang diperoleh menunjukkan kerbau terbabit telah ditarik keluar dan dibawa menggunakan kenderaan PBT.

"Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini. Jadi besarlah harapan kami agar perkara ini membawa kepada satu siasatan yang telus.

"Kami penternak sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan kerana kami mempunyai bukti nyata termasuk video dan gambar," katanya.

Peguam yang dilantik penternak, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin berkata, satu aduan rasmi akan dibuat dalam masa terdekat ini kepada MDKpr berhubung isu berkenaan.

MDKpr dalam kenyataan ringkas kepada media pula memaklumkan perkara itu telahpun berada dalam siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat penternak pada 24 April lepas.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!