Laporan Bank Dunia: KPM laksana pelbagai inisiatif reformasi pendidikan

KPM mengambil perhatian terhadap Laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' berkenaan sistem pendidikan negara. - Gambar hiasan
KPM mengambil perhatian terhadap Laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' berkenaan sistem pendidikan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan bagi 2027 dan intervensi kurikulum untuk menangani keciciran pembelajaran.

KPM menerusi satu kenyataan menjelaskan kelas prasekolah akan diperluaskan di seluruh institusi pendidikan KPM bagi memastikan isu keciciran murid dapat ditangani dari peringkat awal.

"Tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.

"Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru," katanya pada Selasa.

Menurut kementerian itu, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap Laporan Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' berkenaan sistem pendidikan negara.

KPM berkata, perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian pihaknya.

"KPM komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya. Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak," jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan laporan Bank Dunia itu memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.

Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa).

Berbanding dengan Vietnam, sebuah negara dengan sumber yang lebih rendah menunjukkan hasil yang lebih kukuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!