SKMM tangani masalah liputan komunikasi di Kampung Orang Asli

SKMM tangani masalah liputan komunikasi di Kampung Orang Asli (KOA), Kelantan - Foto hiasan
SKMM tangani masalah liputan komunikasi di Kampung Orang Asli (KOA), Kelantan - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan bagi menangani masalah liputan komunikasi di Kampung Orang Asli (KOA) Ber, Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan susulan laporan akhbar pada 2 Jun lalu mengenai permohonan penduduk untuk penaiktarafan capaian Internet mudah alih.

Pihak SKMM pada 3 Jun menghubungi penghulu kampung, Razak Rongging bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan aduan yang dikemukakan selain memberi penerangan kepada penghulu mengenai status semasa liputan Internet di kawasan tersebut.

“Sebelum itu, langkah penyelesaian sementara iaitu penambahan capaian Internet di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 dilakukan menerusi perkhidmatan jalur lebar Wifi melalui satelit (BWA) dan mula beroperasi pada akhir suku pertama 2022,” jelas SKMM dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehingga kini, penduduk setempat di KOA Ber menikmati capaian Internet secara percuma dengan had kuota penggunaan 3GB seminggu serta kelajuan 35 Mbps.

“Untuk penyelesaian jangka panjang pula, pihak SKMM merancang untuk membina menara komunikasi berhampiran dengan KOA Ber dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan dari pihak Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK),” ujarnya.

Tambahnya lagi, permohonan tersebut dihantar penyedia perkhidmatan pada suku pertama 2023 dan jalinan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri amat dialu-alukan bagi memberi kelulusan pihak berkuasa tempatan serta tapak bagi pembinaan menara tersebut yang dijangka siap beroperasi suku pertama 2024.

“SKMM akan sentiasa memantau pelaksanaan kerja-kerja pembinaan menara komunikasi berhampiran dengan KOA Ber bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan demi keselesaan penduduk kampung itu,” jelasnya dalam kenyataan sama.