Tokan dadah guna taktik baharu elak hukuman mati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tokan dadah kini menggunakan taktik baharu dengan membawa bahan terlarang itu dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, taktik itu dikesan selepas polis menahan tokan dadah dan mendapati bahan yang dirampas dalam kuantiti sedikit dan suspek hanya boleh didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta berkenaan yang membawa hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan mendapati tokan dadah akan membawa dadah dalam kuantiti kecil kerana mereka boleh mendapat bekalan secara berulang dari Ipoh dan Taiping.

"Walaupun kita banyak membuat tangkapan pada setiap minggu tetapi jumlah dadah dirampas adalah dalam kuantiti kecil dan mereka hanya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.

"Masalah dadah di daerah ini agak serius dan serbuan serta tangkapan kita buat dari semasa ke semasa untuk membendung gejala itu," katanya selepas majlis Tautan Kasih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kangsar bersama pesara dan balu polis sempena Hari polis ke 212 di perkarangan IPD Kuala Kangsar di sini hari ini.

Razali berkata pihaknya sentiasa membuat jerayawara di masjid untuk meminta kerjasama penduduk supaya melaporkan kegiatan dadah di kawasan masing-masing.

Pada majlis itu, Razali turut menyampaikan barangan seperti beras, bihun, minyak dan gula kepada 14 bekas anggota polis serta balu anggota polis untuk persiapan menjelang ketibaan Ramadan. - Bernama

Artikel Berkaitan: