'Garbage truck' versi Ramadan

Ramadan bulan untuk beribadat, kurangkan pembaziran, beli dan makan apa yang perlu sahaja.
Ramadan bulan untuk beribadat, kurangkan pembaziran, beli dan makan apa yang perlu sahaja.
A
A
A

BEBERAPA tahun lepas, sebuah iklan sempena bulan Ramadan mengenai seorang wanita mengumpul lebihan makanan yang masih elok telah dihasilkan. Tindakannya diperhatikan secara sinis oleh rakan-rakannya tadi. Dia dilihat sebagai ‘orang yang tidak cukup makan’.

Di sebalik itu dia rupa-rupanya mempunyai sifat mulia dan prihatin dengan mengagihkan makanan itu kepada kana-kanak yang tidak mempunyai makanan.

Moral dan pengajaran daripada iklan itu bukan sekadar menunjukkan sifat mulia seorang insan terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai makanan.

Dari perspektif lain ia menggambarkan akan selalu terdapat makanan yang masih elok tetapi terbazir. Fenomena seumpama ini akan menjadi lebih signifikan sewaktu kita mengharungi bulan Ramadan nanti.

Menurut statistik, rakyat Malaysia membuang 8,000 tan makanan sehari. Alam Flora daripada pengalamannya menjangkakan kuantiti tersebut akan meningkat 15-20 peratus pada bulan Ramadan.

Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengatakan komposisi sisa pepejal berupa makanan terbuang ialah 45 peratus. Ia merupakan komposisi bahan buangan yang tertinggi berbanding plastik dan lain-lain.

Penyumbang kepada sisa berkenaan ialah daripada kawasan perumahan, perbandaran, hotel, institusi pengajian, sekolah dan kawasan industri. Ini juga bermakna ketumpatan dan isi padu tapak pelupusan sampah akan meningkat.

Paparan dalam iklan dimaksudkan tadi tidaklah dilihat sebagai isu terpinggir. Ia mewakili apa yang sebenarnya berlaku setiap hari di restoran-restoran dan hotel-hotel oleh penganjur jamuan terutamanya.

Artikel Berkaitan:

Ia perlu dilihat pada skala yang lebih luas dan menyeluruh. Ini menuntut suatu usaha bersepadu dijanakan bagi memastikan kadar makanan terbuang dapat diuruskan dengan sistematik dan lebih berkesan.

Garbage truck yang ditugaskan untuk menghantar dan menghumban sisa makanan pada waktu siang esok perlu ditransformasikan menjadi food truck pada petang atau malam itu juga. Destinasinya bukan ke tapak pelupusan sebaliknya ia dapat dimanfaatkan untuk golongan lebih memerlukan seperti kepada gelandangan dan rumah-rumah kebajikan.

Maka sudah pasti kuantiti makanan terbuang dapat diminimumkan. Bukan sahaja pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab tetapi juga kita semua.

Setiap individu dan ahli masyarakat perlu berperanan dalam mengendalikan sisa bahan makanan dengan teliti dan berhemah. Amalkan perbelanjaan berhemah dengan merancang pembelian dan tidak terlalu mengikut hawa nafsu.

Beli hanya yang perlu, mengamalkan penyimpanan yang elok serta bijak mengamalkan resipi-resipi kreatif untuk mengelakkan pembaziran.

Penulis tertarik dengan idea dan inisiatif yang pernah dilakukan oleh pihak DBKL iaitu Lost Food Project. Selain wajar diteruskan ia juga patut menjadi contoh kepada majlis perbandaran lain di negara ini.

Projek ini menumpukan kepada lebihan buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar yang tidak habis dijual. Sebelum rosak dan dibuang, bahan-bahan tersebut dikumpul dan akan diagihkan kepada yang memerlukan kepada badan-badan kebajikan di Lembah Kelang.

Langkah dan tindakan ini bukan sahaja dapat membantu kepada golongan yang memerlukan, mengelakkan berlaku pembaziran malah mengurangkan sisa yang boleh mengotorkan alam sekitar. Sisa makanan di tapak pelupusan akan menghasilkan gas metana yang tinggi (47 peratus).

Resapan sisa kotor ini memberikan kesan kepada pencemaran sungai dan sumber air di bawah tanah. Ia turut menyumbang kepada kadar kepanasan bumi.

Memanglah elok meluaskan perbelanjaan keluarga, khususnya dalam menjamu berbuka puasa. Namun kita juga mestilah berpada-pada. Ramadan akan berlaku limpah ruah insan bersedekah, makanan terbuang dan sampah. Justeru kena beringat kerana amalan membazir boleh merosakkan pahala puasa.

Garbage truck sempena Ramadan juga sebenarnya mempunyai konotasi kepada amalan dan kebiasaan lidah manusia. Tentulah kita mengharapkan garbage yang selalu keluar dari lisan kita turut ‘mengurangkan trip’ berulang-alik atau bercuti terus daripada mengeluarkan kata-kata tidak berfaedah aka sampah.

Daripada mengeluarkan toksid yang kotor, kita hasilkan atau keluarkan oksigen yang bersih dan nyaman untuk diri dan insan sekitar daripada lidah (berserta hati).

Marilah kita santuni tetamu yang istimewa ini dan usah terlepas pelbagai fadilat yang terkandung di dalamnya. Elakkan daripada hanya mendapat lapar dan dahaga.

Sempena Ramadan marilah kita sama-sama turut melestarikan alam. Garbage truck tidak sahaja dikendali oleh pemandu lori, tetapi juga oleh kita punya jari. AHLAN YA RAMADAN.

* Mohd Arshad Musa ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd. Beliau berpengalaman dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia