Hubungan Pas-UMNO yang masih dirindui

Dewan Muslimat Pas mengajak UMNO untuk bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu.
Dewan Muslimat Pas mengajak UMNO untuk bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu.
A
A
A

MESKIPUN sudah berada dalam gagasan yang berasingan, namun masih terdapat pihak mahukan Pas dan UMNO kembali bersama dalam satu koalisi politik.

Baru-baru ini, Dewan Muslimat Pas mengajak UMNO untuk bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu dengan meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah.

Menurut Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh, tempoh enam bulan berada dalam Kerajaan Perpaduan sudah mencukupi bagi parti utama bangsa Melayu tersebut untuk tidak mengekalkan hubungan dengan rakan gabungan.

Ujar beliau, UMNO harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara.

Kata Nuridah, tangan pimpinan parti itu diikat ketat oleh pimpinan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) agar mengikut telunjuk mereka.

Pujukannya tersebut pasti mempunyai alasan yang kuat kerana Pas cukup mendukung pentadbiran negara dengan dominasi Melayu dan Islam.

Ia ditambah dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa keutamaan kuasa politik perlu diberikan kepada bangsa yang berpengaruh di Malaysia ketika ini iaitu Melayu.

Jelas beliau, kepimpinan nasional tanpa jagaan kaum yang dominan hanya akan mencetuskan permasalahan politik yang lebih besar.

Walau apapun, ajakan Pas berkenaan pastinya menimbulkan banyak persoalan tentang sama ada ia bakal mempengaruhi sama ada secara langsung atau tidak terhadap UMNO.

Umum mengetahui. bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meramalkan parti itu bakal kehilangan sokongan sebanyak 50 peratus daripada ahlinya.

Mungkinkah ramalan tersebut juga boleh membawa kepada satu ‘kelahiran’ semula hubungan UMNO dengan Pas bagi mewujudkan satu gagasan yang lebih kemelayuan?

Tiada yang mustahil kerana teka-teki dan ‘plot twist’ politik sentiasa menjadi hidangan buat setiap rakyat Malaysia.