Pelajar terbaik SPM Terengganu 2022 kongsi rahsia cemerlang

Nur Nadiatul Syakila (tengah) bersama ibunya, Che Rohaini dan bapanya, Mohd Razif selepas menghadiri majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Nur Nadiatul Syakila (tengah) bersama ibunya, Che Rohaini dan bapanya, Mohd Razif selepas menghadiri majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), di Kuala Terengganu, pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu 2022 yang memperoleh 10A+ dalam peperiksaan itu berkongsi rahsia di sebalik kejayaan bagi menyuntik inspirasi kepada pelajar lain.

Calon dari Sekolah Menengah Agama (SMA) (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Nur Nadiatul Syakila Mohd Razif, 18, berkata, perkara penting setiap kali sebelum belajar yang selalu dilakukan ialah memperbaharui niat bagi mencapai matlamat dan tujuan sebenar dalam pelajaran.

"Satu perkara yang saya selalu buat ialah niat sebelum belajar. Saya niat belajar kerana ALLAH SWT dan nak bantu agama ALLAH.

"Kejayaan ini bukan datang hanya dari usaha sendiri, doa ibu bapa yang tak pernah putus. Guru-guru di SMAASZA juga guru hebat yang tidak pernah jemu mendidik. Ia juga antara sebab kejayaan ini," katanya.

Anak kepada pasangan guru itu ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), di sini pada Khamis.

Nur Nadiatul Syakila yang nerupakan anak keenam dari tujuh beradik berkata, dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam Program Asasi Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pelajar cemerlang itu mendapat A+ bagi pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu'asirah, Manahij Al-'Ulum Al-Islamiah dan Al-Adab Wa Al-Balaghah.

Sementara itu, bapanya, Mohd Razif Abd Manan, 58, yang merupakan Guru Kanselor di SMK Padang Midin, berkata, semua anak-anaknya diasuh untuk menitikberatkan aspek pelajaran.

"Saya nasihatkan anak-anak supaya pentingkan pelajaran. Istiqamah dan jangan berputus asa.

"Jika ada apa-apa masalah, luahkan segalanya kepada ibu bapa. Fikir untuk belajar dahulu, soal kerja fikir kemudian," ujarnya.

Mohd Razif hadir ke JPNT bersama isterinya, Che Rohaini Ismail, 54, yang merupakan Guru Kanan Bahasa SMK Padang Negara, di sini.