Kilang proses sarung tangan didenda RM45,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kilang yang memproses sarung tangan getah di Kuala Pilah didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas kesalahan melepaskan efluen perindustrian melebihi had kepekatan yang ditetapkan, tahun lalu.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan dalam kenyataannya berkata, hukuman itu diputuskan Hakim Mazni Nawi selepas pengarah syarikat, Tan Hooi Kiak selaku orang yang kena saman, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan.

"Pertuduhan dilakukan di bawah Peraturan 11(1)(a) dan Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di Peraturan 32, Peraturan yang sama.

"Keputusan analisa daripada Jabatan Kimia Malaysia, bertarikh 6 Julai 2022 menunjukkan bahawa premis tersebut, syarikat HL Rubber Industries Sdn Bhd telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had kepekatan yang ditetapkan," katanya pada Rabu.

Sementara itu, di mahkamah sama, sebuah kilang lain yang memproses sarung tangan getah di Jalan Ulu Juasseh, Kuala Pilah didenda RM3,000 atas pertuduhan menyimpan buangan latex dalam premis melebihi 20 tan metrik selepas pengeluaran buangan tersebut, tahun lalu.

Mazni membuat keputusan itu selepas pengarah syarikat itu, SM Gloves Sdn Bhd Tee Chok selaku orang yang kena saman, membuat pengakuan bersalah.

"Pertuduhan dilakukan dibawah Peraturan 9(5)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41, Akta yang sama.

"Keputusan analisa daripada Jabatan Kimia Malaysia, bertarikh 28 Disember 2022 menunjukkan buangan latex tersebut mengandungi logam aluminium, zink, besi dan getah nitrile iaitu polybutadiene acrylonitrile iaitu unsur yang terdapat dalam buangan latex," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Muhamad Fitri Soroni dan Zainoorliza Zainal Abidin

Kedua-dua orang yang kena saman kemudiannya membayar denda yang ditetapkan.