Muhammad Faisal akan fail representasi kes kemuka dokumen palsu

Azizul Abdul Halim (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen
Azizul Abdul Halim (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen
A
A
A

SEREMBAN - Anak kepada bekas seorang menteri akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Nasuha Badrul Din yang mewakili Muhammad Faisal Hamzah, 39, ketika sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim, Mazni Nawi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Nasuha turut memberitahu yang dia baharu sahaja dimaklumkan untuk mengambil alih kes daripada peguam terdahulu.

Bagaimanapun pada prosiding itu, beliau memaklumkan Muhammad Faisal tidak hadir kerana cuti sakit.

Azizul Abdul Halim, 55, yang turut disabit atas pertuduhan sama pula hadir namun tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri(KPDN), Syazwani Zawawi berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada Azizul yang merupakan tertuduh pertama.

"Hari ini memang ditetapkan untuk serahan dokumen. Cuma Muhammad Faisal tidak hadir.

"Tapi bagi saya dokumen itu wajar untuk diserahkan kepada tertuduh sendiri kerana khuatir akan berlaku pertukaran peguam jika ia diserahkan kepada peguam," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan keputusan representasi.

Pada 5 April lalu, media melaporkan Muhammad Faisal dan Azizul yang kedua-duanya merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan juga pemegang lesen minyak masak borong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan, Pasar Segar Din Maju yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tertuduh selaku pemegang lesen borong juga didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang pada 11 Ogos 2022.