RUU Kawalan Produk Merokok dibentang 12 Jun ini

Sebanyak 75 peratus pihak industri vape bersetuju dan bersedia untuk menerima sekiranya RUU tersebut diluluskan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Zaliha, Lukanisman )
Sebanyak 75 peratus pihak industri vape bersetuju dan bersedia untuk menerima sekiranya RUU tersebut diluluskan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Zaliha, Lukanisman )
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bacaan kali pertama bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 12 Jun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, satu memo jemaah menteri kepada kabinet telah dikemukakan bagi mendapatkan sokongan untuk RUU itu dibentangkan pada 26 Mei lalu.

“Pembentangan pada 26 Mei lepas adalah kejayaan apabila KKM membentangkan memo jemaah menteri kepada kabinet untuk dibentangkan ke Parlimen.

“Apabila tugas pertama berjaya, ini menunjukkan kita dapat persetujuan dan sokongan daripada kabinet. 12 Jun adalah tarikh untuk bentangkan bacaan pertama di Parlimen,” katanya dalam sesi taklimat berkaitan RUU baharu bagi kawalan produk merokok di sini pada Selasa.

RUU berkenaan antaranya akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

RUU tersebut sebelum ini dibentang bagi bacaan pertama dan kedua pada 27 Julai dan 1 Ogos tahun lalu oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata, satu kertas Pindaan Dalam Jawatankuasa yang mengandungi 23 pindaan ke atas RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Menurut Zaliha, antara pindaan yang dilakukan pada RUU 2023 itu adalah pengurangan denda standard untuk Generasi Penamat (GEG) iaitu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan ke atas daripada RM5,000 kepada RM500.

“Denda dikurangkan adalah bertujuan untuk tidak membebankan pesalah. Ini juga bagi memastikan ia bukan kesalahan yang menghukum tetapi lebih kepada mendidik. Sebab itu kita lakukan beberapa pendekatan baharu mengambil kira hal sedemikian,” ujarnya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata, tiada hukuman penjara dikekalkan bagaimanapun, perintah khidmat masyarakat diperkenalkan bagi memberi peluang pendidikan, kesedaran dan bukan bersifat punitif semata-mata.

Jelas beliau, larangan pemilikan bagi GEG juga telah digugurkan sekali gus menyebabkan isu pemeriksaan badan tidak lagi terpakai.

“Bagi RUU 2023 juga, kuasa penguatkuasaan telah dihadkan hanya bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk tembakau,” ujarnya.

Tambahnya, klausa laporan berkala juga telah diperkenalkan dan laporan pertama dijangka dibentang pada 2025 iaitu sebelum GEG melepasi umur 18 tahun.

“Dalam masa 2030, kita boleh melaksanakan sepenuhnya apa yang kita cadangkan untuk kumpulan sasar (GEG). Itu adalah tempoh masa yang kita nyatakan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, sebanyak 75 peratus pihak industri vape bersetuju dan bersedia untuk menerima sekiranya RUU tersebut diluluskan.

Beliau turut memohon supaya pihak industri bertanggungjawab untuk tidak melakukan penjualan secara melampau sehingga melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja.

“Saya merasakan kita dalam satu jalan yang sangat positif terhadap pelaksanaan RUU ini,” ujarnya.