40 individu dalam misi 'Black Hawk Down' jadi tumpuan

Ismawi (dua dari kanan) menunjukkan info berkenaan peristiwa Pasar Bakara di program peragaan menggamit kenangan Bakara Market Somalia di Petaling Jaya, pada Ahad.
Ismawi (dua dari kanan) menunjukkan info berkenaan peristiwa Pasar Bakara di program peragaan menggamit kenangan Bakara Market Somalia di Petaling Jaya, pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Kehadiran 40 individu lengkap berpakaian uniform askar seperti misi 'Black Hawk Down' menjadi tumpuan orang ramai yang hadir pada program peragaan menggamit kenangan Bakara Market Somalia di sini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan bekas tentera dan pengumpul koleksi pakaian tentera tersebut di reruai pameran Brotherhood Camo Malaysia di Kompleks Sukan Kelana Jaya, di sini, pada Ahad.

Presiden Brotherhood Camo Malaysia, Ismawi Ismail berkata, objektif pameran itu adalah untuk berkongsi sejarah ketenteraan kepada orang ramai serta menghargai pengorbanan pahlawan negara.

“Jika tidak kerana filem Hollywood (Black Hawk Down), ramai yang tidak tahu tentang peranan penting yang dimainkan oleh anggota tentera kita dalam menyelamatkan renjer Amerika Syarikat pada 3 Oktober 1993.

“Justeru pameran sebegini penting untuk menceritakan kisah sebenar misi tersebut serta meningkatkan kesedaran tentang pengorbanan askar yang terlibat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Ahad.

Ismawi berkata, kelab itu mempunyai kira-kira 400 ahli terdiri daripada bekas anggota tentera dan orang awam yang gemar mengumpul pakaian seragam tentera, termasuk pakaian vintaj.

“Seramai 40 ahli yang lengkap dengan pakaian seragam tentera terlibat dalam pameran ini bagi memperingati misi di Somalia.

Beliau berkata, Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis telah diamanahkan untuk berkhidmat di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Operasi UNOSOM II di Somalia sebagai kumpulan utama Malbatt 1 mulai 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994.

"Misi 'Black Hawk Down' itu menunjukkan keberanian dan kesungguhan askar Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli kelab Ammar Kamarudin, 40, berkata, beliau teruja untuk mengambil bahagian dalam pameran itu.

"Saya merupakan seorang pengumpul pakaian seragam tentera terutamanya pakaian vintaj sejak 2013.

"Saya meminati bidang ketenteraan kerana bapa saya juga adalah bekas tentera," katanya.