Ejaan salah rendahkan martabat bahasa Melayu

A
A
A

MENJADI kontroversi dalam kalangan pembaca dan pencinta bahasa apabila pihak Lembaga Air Perak menyengajakan kesalahan ejaan dalam ungkapan yang diterakan pada gegantung dan kain rentang yang berbunyi, “PNGUNA BJAK SNTIASA BRJMAT”.

Ada pihak yang mempertikaikan kewajaran cara pengejaan sedemikian dan terdapat pula yang memuji tindakan tersebut kerana dianggap kreatif dalam penyampaian mesej.

Ungkapan yang ejaannya sengaja disalahkan adalah untuk kempen jimat air sempena Sambutan Air Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019.

Menurut Pengurus Besar Lembaga Air Perak, ejaan pada perkataan itu sengaja dibuat sedemikian sebagai gimik yang dilakukan secara kreatif untuk menyampaikan mesej penjimatan air secara efektif.

Dari segi kreativiti, memang tulisan tersebut akan dapat menarik perhatian para pembaca untuk meneliti, seterusnya mengenal pasti perkataan yang tepat bagi perkataan yang disalahejakan itu.

Bagaimanapun, tindakan mengeja salah itu bertentangan dengan kehendak Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006: Langkah-langkah Memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara yang digunakan dalam semua maksud rasmi, meliputi wacana lisan dan tulisan pada peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

Hal ini termasuklah penggunaan bahasa di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan yang terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, tiada sesiapa pun atau mana-mana pihak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu secara salah apatah lagi jika disengajakan termasuklah pada kain rentang atau gegantung di tempat awam.

Sesungguhnya, tiada perkataan dalam bahasa Melayu boleh disingkatkan ejaannya dengan cara menghilangkan beberapa huruf. Memang ada kata yang disingkatkan pengejaannya seperti yang terdapat dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi setiap singkatan kata atau kependekan kata itu ada dijelaskan kata yang penuhnya sebagai rujukan.

Contohnya, 'dll' untuk 'dan lain-lain', 'dlm' untuk 'dalam', 'drpd' bagi perkataan 'daripada', 'yg' untuk 'yang' dan 'spt' untuk 'seperti'. Kependekan tersebut hanyalah untuk rujukan penggunaan kamus dan tidak boleh digunakan untuk penulisan secara formal atau urusan rasmi kerajaan.

Perkataan bahasa Melayu terhasil apabila berlaku proses penyusunan huruf yang terdiri daripada huruf konsonan, vokal, rangkap vokal (diftong) dan gugus konsonan.

Huruf konsonan bahasa Melayu ialah b, c, d, f, g, h, j, k, l, m, n, p, q, r, s, t, v, w, x, y dan z manakala huruf vokal yang dahulunya dipanggil huruf saksi, iaitu a, e, i, o dan u.

Gabungan huruf konsonan dan vokal dalam bentuk suku kata akan membentuk kata. Perkataan juga dapat dibentuk melalui gabungan konsonan, vokal dan rangkap vokal atau gugus konsonan. Rangkap vokal atau diftong bahasa Melayu ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata, iaitu ai, au dan oi.

Gugus konsonan pula gabungan dua konsonan yang berurutan dalam satu suku kata. Contoh gugus konsonan ialah ng, ny, pr dan kl. Menyusun huruf konsonan sahaja tanpa kehadiran huruf vokal tidak akan menjadi perkataan.

Dari segi pengecaman perkataan sebenar dan pemahaman maknanya, penulis berpendapat pembaca boleh mengetahuinya melalui agakan dan padanan pada huruf.

Bagaimanapun, ketepatan agakan pembaca banyak bergantung pada perkataan yang disingkatkan ejaannya. Ada ketikanya perkataan yang dieja salah boleh mengelirukan pembaca atau pengguna bahasa jika pada perkataan itu digugurkan semua huruf vokalnya. Tanpa huruf vokal kita tidak akan mengetahui perkataan sebenarnya.

Tegasnya, prinsip 'eja sebagaimana disebut, sebut sebagaimana dieja' hendaklah dipatuhi oleh masyarakat pengguna bahasa dalam pertuturan dan penulisan bahasa Melayu.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka