Malaysia guna langkah perundangan tamat tuntutan waris Sultan Sulu

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan terus mengambil langkah keselamatan termasuk tindakan perundangan bagi menamatkan segala tuntutan berhubung surat daripada Paul H Cohen iaitu peguam yang mewakili waris Sultan Jamalul Kiram II untuk memastikan kepentingan, kekebalan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Menurut Jabatan Peguam Negara, berdasarkan dakwaan palsu pada 31 Mei lalu, Malaysia menjawab surat terbabit yang menyatakan dengan fakta jelas berhubung tuntutan yang tidak boleh dipertikaikan dan laporan polis dibuat pada 1 Jun2023 terhadap Paul H Cohen.

“Tindakan ini membolehkan siasatan sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang di bawah undang-undang Malaysia.

“Kesemua dakwaan oleh Paul H. Cohen dalam surat terbabit adalah sama sekali tidak benar dan secara terang-terangan tidak mengendahkan fakta tuntutan akan mewujudkan rekod bertulis yang bertujuan digunakan terhadap Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 29 Mei 2023, Jabatan Peguam Negara telah menerima surat yang ditujukan kepada Peguam Negara Malaysia bertarikh 28 Mei 2023 daripada Paul H Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (penuntut) yang telah membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia (tuntutan).

Surat tersebut telah menuntut bayaran segera iaitu sebelum 2 Jun 2023 bagi Final Award yang berjumlah AS$16.412 bilion (termasuk 10 peratus faedah), AS$3,502,394.24 bayaran peguam dan ahli pakar serta AS$4,026,592.64 bagi kos timbang tara.

Tambah Jabatan Peguam Negara, surat terbabit telah mendakwa Malaysia dengan sengaja telah gagal mematuhi Final Award dan telah membuat dakwaan yang keterlaluan terhadap tindakan yang diambil oleh penimbang tara iaitu Dr Stampa.

Jelasnya, kandungan surat terbabit juga telah memberi gambaran tidak tepat dan memfitnah Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang telah diambil dalam menangani tuntutan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang ditulis dalam surat yang dihantar.

“Jabatan Peguam Negara menyelar segala dakwaan yang dibuat melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung.

“Malaysia dengan tegas membantah Final Award dan mengekalkan pendirian untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan telah diambil oleh Dr Stampa dalam prosiding timbang tara termasuk semua keputusan yang dikeluarkan olehnya tidak sah daripada segi undang-undang,” katanya.