Dana judi: Tidak nyatakan siasatan SPRM dihenti, digugurkan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, jawapan yang diberikan di dalam Dewan Rakyat berhubung pendanaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak menyatakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihenti atau digugurkan.

Menurutnya, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali tentu sekali berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan maklumat dan juga bukti diperoleh dari semasa ke semasa.

"Pada masa yang sama, adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti," katanya.

Ujar Azalina, undang-undang negara tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes jenayah.

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah berikan kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung perkara ini mahupun membuat tuduhan tidak berasas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip “rule of law”, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat," ujar beliau.

Terdahulu Azalina (BN- Pengerang) jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis mengesahkan mengesahkan tiada apa-apa fail siasatan dibuka terhadap PN di atas dakwaan mendapat sumbangan daripada dana perjudian semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Azalina berkata, SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan yang dibuat oleh Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya Disember lalu

Pada 5 Disember lalu, Anwar memberi bayangan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.