Tiada unsur rasuah dalam dana parti kerajaan ketika PRU15 - Azalina

Azalina berkata, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung parti-parti terbabit yang mendapat pendanaan ketika PRU15. - Foto fail Bernama
Azalina berkata, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung parti-parti terbabit yang mendapat pendanaan ketika PRU15. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, SPRM telah menjalankan siasatan berhubung parti-parti terbabit yang mendapat pendanaan ketika PRU15.

"Siasatan kes telah pun selesai dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur-unsur penerimaan rasuah.

"Bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa ketika ini," katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana siasatan SPRM terhadap parti-parti dalam kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

Dalam perkembangan sama, Azalina turut mengesahkan tiada apa-apa fail siasatan dibuka terhadap Perikatan Nasional (PN) di atas dakwaan mendapat sumbangan daripada dana judi di dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

"SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

"Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak boleh mengesahkan isu ini," katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan terhadap dakwaan bahawa terhadap parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi di dalam kempen PRU yang lepas. - Awani