'Penduduk tunggu keputusan bantahan sejak 2017'

Abdul Halim (kanan) dan Ahmed Khalib (kiri) kesal apabila pemaju menyambung kembali kerja pembinaan projek tersebut.
Abdul Halim (kanan) dan Ahmed Khalib (kiri) kesal apabila pemaju menyambung kembali kerja pembinaan projek tersebut.
A
A
A

KLANG - Tindakan Persatuan Penduduk Taman Harum Manis, Meru di sini membantah cadangan untuk pembinaan 54 unit kediaman sejak 2017 kerana jaraknya terlalu hampir dari kediaman mereka masih belum mendapat sebarang keputusan muktamad.

Penduduk mendakwa pembinaan itu bakal menimbulkan pelbagai masalah seperti jarak dengan perumahan sedia ada yang tidak munasabah, kesesakan lalu-lintas, kerosakan rumah serta jaminan keselamatan nyawa dan harta benda mereka.

Penduduk, Norma Mohamed, 53, mendakwa, pembinaan rumah teres dua dan satu tingkat itu telah dimulakan semula sejak hujung tahun lepas tanpa dimaklumkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada persatuan penduduk taman berkenaan.

“Walaupun kami sudah menyuarakan kebimbangan kepada banyak pihak termasuk pada mesyuarat yang diadakan bersama PBT, pembinaan ini tetap diteruskan juga,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, suaminya, Ahmed Khalib Saliyar Ibrahim, 57, berkata, risiko pergerakan tanah sangat tinggi akibat penggunaan jentera tidak bersesuaian sekali gus boleh mengakibatkan kerosakan struktur rumah terutamanya yang terletak hanya beberapa meter dari tapak pembinaan.

"Bantahan terakhir oleh penduduk setempat telah dikemukakan kepada PBT dan pemaju menerusi sesi dialog bersama pada 6 April lalu, namun sehingga kini kerja-kerja pembinaan masih berjalan seperti biasa," dakwanya.

Terbaharu, dakwanya lagi, pemaju berjanji untuk membaiki kerosakan dinding yang telah berlaku di rumahnya namun tiada perjanjian rasmi dibuat, sebaliknya hanya sekadar janji yang dikhuatiri hanya 'janji kosong' sahaja.

Perkara itu turut diakui Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Harum Manis, Abdul Halim Hafiz Abdul Rahman ketika ditemui Sinar Harian bagi mendapat gambaran lebih jelas terhadap bantahan penduduk.

Bantahan terakhir dikemukakan kepada PBT dan pemaju menerusi sesi dialog bersama pada 6 April lalu di rumah Ahmed Khalib.
Bantahan terakhir dikemukakan kepada PBT dan pemaju menerusi sesi dialog bersama pada 6 April lalu di rumah Ahmed Khalib.

Beliau turut memaklumkan masih belum mendapat sebarang maklum balas rasmi dari PBT walaupun sudah mengadakan pertemuan dalam satu mesyuarat lebih sebulan yang lalu.

"Tiga hari sebelum Aidilfitri yang lalu kami dipanggil oleh pihak PBT dalam satu mesyuarat bersama pemaju bagi menyelesaikan masalah penduduk namun sehingga sekarang tiada sebarang minit mesyuarat atau pun keputusan bertulis, tapi pemaju sudah menyambung kembali kerja pembinaan projek," katanya.

Susulan itu katanya, penduduk berharap mereka mendapat kata putus dan jawapan rasmi dari pihak yang terlibat sekali gus dapat menyelesaikan kemelut dihadapi penduduk di kawasan taman tersebut sejak sekian lama.

"Saya berharap semua pihak terlibat meneliti masalah dialami penduduk di sini malah perkara ini sudah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru (Mohd Fakhrurazi Mohd Mokhtar),” katanya.

Sementara itu, Mohd Fakhrurazi ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima aduan penduduk malah mengatur pertemuan dengan semua pihak terlibat bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Namun, selepas pertemuan itu (6 April lalu) dibuat, saya belum dimaklumkan mengenai perkembangan terkini terhadap bantahan dibuat tetapi menerima maklumat bahawa kerja-kerja pembinaan masih dijalankan," katanya.