Penagih guna pistol mainan 'rompak' kedai roti, kek ditahan

Seorang penagih dadah ditangkap selepas hampir lima jam melarikan mesin wang dan menggunakan sepucuk pistol mainan untuk merompak di sebuah kedai roti dan kek di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu pada Isnin.
Seorang penagih dadah ditangkap selepas hampir lima jam melarikan mesin wang dan menggunakan sepucuk pistol mainan untuk merompak di sebuah kedai roti dan kek di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penagih dadah ditangkap selepas hampir lima jam melarikan mesin wang dan menggunakan sepucuk pistol mainan untuk merompak di sebuah kedai roti dan kek di Jalan Pintu Pong, di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 40-an itu merupakan Local Bad Caracter (LBC) di daerah ini dan sentiasa mendapat pemantauan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, semasa kejadian pada jam 8 pagi suspek telah datang secara bersendiran dan masuk ke dalam kedai dengan memakai jaket, seluar panjang warna hitam serta topi.

"Lelaki terbabit kemudian telah berlegar-legar di dalam kedai berkenaan sambil memegang objek disyaki pistol mainan.

"Suspek kemudiannya telah ke kaunter dan melarikan mesin wang. Semasa kejadian semua pekerja sedang membuat roti dan kek di tingkat atas kedai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, suspek terbabit berjaya ditahan pada jam 12.30 tengah hari dan polis turut merampas mesin wang serta pistol mainan yang digunakan semasa kejadian.

Ujarnya, hasil daripada maklumat dan pemantauan, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek sebelum pengadu membuat aduan di balai polis iaitu dalam tempoh kurang dari lima jam selepas kejadian berlaku.

Mohd Rosdi memberitahu, lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

"Suspek direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Sebelum itu satu video berdurasi 2 minit 21 saat dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian seorang lelaki melarikan mesin wang tunai di sebuah premis.