Pembebasan Abdul Latif tiada campur tangan politik: Hasni

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor menafikan dakwaan keputusan pembebasan mahkamah terhadap bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latif Bandi atas pertuduhan rasuah baru-baru ini ada kena mengena dengan pengaruh politik.

Sebelum ini timbul desas-desus terutamanya dalam platform media sosial yang mengatakan Latif dibebaskan daripada kesemua 37 pertuduhan rasuah kerana telah meninggalkan UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan baharu.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu dilihat tidak berasas apabila kerajaan PH sejak dari awal telah menyatakan perinsip mereka untuk menegakkan ideologi rules of law dalam pemerintahan mereka.

"Jika mereka (kerajaan) serius dalam nak menegakkan rules of law ini, perkara-perkara seperti ini memang tiada kaitanlah dengan keputusan yang dibuat.

"Maksudnya, semuanya diserahkan bulat-bulat kepada undang-undang. Kita pula di UMNO memang tidak pernah mencampuri sebarang keputusan perundangan khususnya berkaitan dengan hal ahli yang diambil tindakan," katanya ketika ditemui, semalam.

Hasni berkata, pihaknya juga yakin pembebasan tuduhan mahkamah kepada bekas ADUN Endau itu juga telah dijalankan dengan proses yang bersih dan saksama.

"Bila Abdul Latiff dibebaskan dari tuduhan mahkamah itu, maksudnya memang dia dah bersih, saya tidak fikir pun dia akan tinggalkan UMNO hanya kerana mahu bebas.

"Sebab sehingga kini, beliau masih lagi memberikan sokongan dan kuat bersama kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 April lalu, Abdul Latif bersama anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, 27, dan seorang perunding hartanah, Amir Sahriffuddin Abd Raub, 46 dibebaskan dari 37 pertuduhan rasuah dan penyelewengan hartanah.

Ia selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Pertuduhan melibatkan Seksyen 32(8)(C) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram (AMLA) 2001 membabitkan nilai lebih RM30 juta.