Polisi Kedah kukuh, tanah rizab Melayu tidak susut malah bertambah

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk Kedah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) berikutan polisi sedia ada di negeri ini mampu mengekang penyusutan tanah rizab seperti dialami negeri lain.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dasar Kedah yang mewajibkan TRM untuk pengambilan pembangunan ekonomi, perumahan atau komersial hendaklah dilakukan 'swapping', yang mana kaedah itu perlu diganti lebih daripada yang digunakan sekurang-kurangnya lima peratus.

Menurutnya, berdasarkan dasar berkenaan, jumlah TRM di negeri ini tidak akan terjejas malah akan meningkat setiap kali dilakukan 'swapping'.

“Kita amalkan polisi untuk 'swapping', tanah ganti itu mesti lima peratus lebih luas daripada tanah yang dicabut keluar daripada rizab Melayu.

"Polisi itu kekal, jadi tidak timbul masalah akan berlaku tanah rizab berkurang kerana tanah gantian mesti lebih luas daripada tanah asal. Polisi yang kita guna pakai sudah kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah setakat Januari lalu ialah seluas 721,905.613 hektar, menunjukkan peningkatan keluasan sekitar 408 hektar pada tahun ini berbanding keluasan pada 1933.

Berdasarkan warta dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem), keluasan asal tanah rizab Melayu di Kedah pada 1933 sebanyak 721,496.949 hektar.

Dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar, iaitu peningkatan sebanyak 408 hektar berbanding keluasan asal.

“Insya-ALLAH tanah rizab Melayu di Kedah selamat. Tak ada jawatankuasa pun selamat malah ada peningkatan lagi. Negeri lain yang ada pengurangan bolehlah tubuhkan jawatankuasa.

“Apabila ditubuhkan jawatankuasa berkenaan, nampak seolah situasi kritikal sangat. Syukur Kedah tidak kritikal,” ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, untuk negeri-negeri yang mengalami penyusutan TRM, kemungkinan cadangan menubuhkan jawatankuasa suatu yang munasabah.

“Negeri yang kritikal mungkin sesuai untuk tubuh jawatankuasa seperti Kuala Lumpur dan Selangor serta negeri-negeri yang terjejas teruk. Untuk Kedah tiada keperluan,” katanya.

Pada Khamis, kerajaan Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan TRM di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha menyelamatkan TRM, antaranya termasuklah melakukan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi sebarang permohonan pemilikan tanah.