Bekas Exco Perak mahu bantu selamatkan TRM

Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini. (Gambar kecil: Hamidah)
Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini. (Gambar kecil: Hamidah)
A
A
A

IPOH - Usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang sedang diusahakan kerajaan negeri Perak harus dilakukan bersama-sama dengan pihak lain.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, pihaknya sedia berkongsi pengalaman dan maklumat yang ada bagi membantu kerajaan negeri memastikan TRM di Perak terus dipelihara.

Jelasnya, isu TRM merupakan sesuatu yang serius untuk ditangani bukan sahaja di peringkat negeri tetapi nasional kerana jumlah keluasan begitu besar.

"Saya sudah membuat kajian lanjut mengenai isu ini malah ada dokumen yang kita peroleh dari Arkib Negara berkaitan pengisytiharan TRM pada tahun 1930. Di daerah Manjung sebenarnya terdapat lebih 42,000 ekar tanah berstatus Rizab Melayu yang dimansuh tanpa diganti.

"Sebab itu kita minta peluang daripada kerajaan negeri berbincang memberi kefahaman dan kemukakan dokumen yang ada bersama-sama pakar perundangan berkaitan tanah untuk menyelamatkan TRM di Perak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hamidah berkata, pihaknya sudah mengemukan surat permohonan untuk bertemu dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi sehingga kini tiada maklum balas.

Sementara itu, beliau menjelaskan pihaknya sedia bertemu dengan mana-mana wakil rakyat sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk menjelaskan situasi sebenar TRM di Perak.

Menurutnya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu, TRM di Perak boleh diselamatkan daripada tergadai dengan penukaran status pemilikan bukan Melayu melalui proses di peringkat Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Malah katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak harus dipersalahkan sepenuhnya di sebalik kelompongan undang-undang berkaitan kerana PTG mempunyai kuasa dalam penukaran hak milik sesuatu tanah.

Jelas Hamidah, apabila didapati syarikat itu bukan berstatus bumiputra dan tidak tersenarai di dalam Jadual Tiga Enakmen Rizab Tanah Melayu PTG tidak sepatutnya memproses pertukaran hak milik tanah tersebut.