'Harap pelaku dapat balasan setimpal'

Jenazah wanita yang maut akibat dibunuh dan dibakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, Sungai Besar pada Jumaat.
Jenazah wanita yang maut akibat dibunuh dan dibakar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, Sungai Besar pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Ahli keluarga kepada wanita yang maut akibat dibunuh kejam dan dibakar di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lalu menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Abang sulung mangsa, 27, yang enggan namanya didedahkan berkata, dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai kejadian menimpa adiknya itu selagi siasatan belum selesai.

"Saya tidak berniat untuk mengulas lanjut, saya harap pelaku mendapat balasan setimpal melalui saluran undang-undang," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas pengebumian jenazah wanita berkenaan.

Menurutnya, jenazah anak kelima daripada enam beradik itu dituntut adik bongsu mereka di Hospital Sungai Buloh pada Jumaat.

Jelasnya, proses mandi, kafan dan sembahyang dilakukan di Hospital Sungai Buloh sebelum dibawa pulang ke Sungai Besar.

Ujarnya, jenazah yang dibawa dengan kenderaan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) kemudiannya tiba di Surau Ulumuddin, Kampung Nelayan kira-kira jam 7.30 malam.

"Orang ramai memberi penghormatan terakhir dengan bersama-sama menunaikan solat jenazah selepas solat Maghrib," kata beliau

Beliau berkata, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan kira-kira jam 8.15 malam.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, perselisihan faham tentang kehamilan menjadi punca seorang wanita mati ditikam, ditoreh di bahagian perut dan dibakar di kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, di sini pada Isnin.

Suspek membakar mayat teman wanitanya itu yang juga pekerja sebuah kedai makan untuk melupuskan bukti selain cuba membuang semua barang bukti di sekitar Jalan Lama Kuala Selangor.

Bedah siasat ke atas mayat wanita itu mendapati punca kematiannya akibat luka tikaman di dada pada badan yang melecur.