Di mana reformis Islam?

A
A
A

DALAM nukilan kali ini, saya ingin menanyakan di mana perginya reformis-reformis Islam yang mengetuai NGO-NGO hebat seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan IKRAM yang telah ‘mengislamkan Melayu’ dalam tahun 1970-an dan 1980-an.

Nama-nama generasi pertama proses ‘pengislaman Melayu moden’ seperti Anwar Ibrahim, Shaari Sungib, Mohd Nor Manuti dan Siddiq Fadzil merupakan tokoh-tokoh perjuangan Islam era tersebut.

Tetapi kini, apabila pelbagai isu ekstremisme Islam berlaku di dalam dan di luar negara, suara-suara ini senyap serta hilang dek suara-suara oportunis politik yang mengeruhkan lagi keadaan serta merenggangkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Saya ingin menyajikan kembali mauduk atau makna hakiki perjuangan Islam yang bakal membina negara ini dengan Islam moderat dan progresif daripada satu ucapan yang saya dengar serta baca sendiri oleh Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah 2018, yang telah disampaikan di UKM pada tahun lepas.

Dr Siddiq telah mengungkapkan bahawa kepelbagaian sebagai suatu yang indah dan boleh membawa manfaat kepada umat Islam.

Kata beliau: "Budaya hidup bersama harus berpangkal daripada sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh al-Shakyh Abdu ‘Llah bin Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan."

Apa yang saya dapati hebat dalam cebisan ini adalah frasa menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Mengikut tokoh ini, kepelbagaian perlu disenangi dan bukan sahaja ditoleransikan atau diterima dengan perasaan meluat dan keji.

Dr Siddik selanjutnya mentakrifkan erti ta’aruf atau saling mengenal antara satu kaum dengan kaum yang lain. Bagi beliau, perbezaan adalah suatu kekuatan dan kekayaan.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, kita gagal menggembleng keistimewaan setiap kaum dalam apa jua projek, maka itu kita berpusing-pusing dengan pantas tetapi tidak ke mana juga.

Dr Siddiq memberi takrifan berdialog yang amat mengkagumkan saya. Beliau mengungkap, berdialog haruslah mempunyai kelapangan untuk menerima pandangan orang yang amat beza sekali dengan kita.

Ternyata sifat rendah diri tokoh ini menjelaskan apa sebenarnya kesediaan berdialog dengan erti makna yang lebih menyeluruh dan adil. Dr Siddiq menyambung wacana beliau tentang berbuat dan berbalas baik dengan mentafsirkan nilai keinsanan Islam yang sejati: "Kemuliaan insan adalah kurnia Tuhan yang bererti Tuhan sendiri yang memuliakan manusia, dan kerana itu tidak siapa pun yang berhak menghina manusia dengan cara apa pun," katanya.

Sejarah politik negara kita merakamkan bagaimana kepimpinan UMNO telah mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seluas-luas liputan media dan telah memenjarakan orang Islam dan bukan Islam dalam Operasi Lalang.

Orang Melayu juga membiarkan Jamal Yunos dan geng baju merah melontarkan kata nista ‘Cina babi’ dan banyak lagi. Dr Siddiq memberi tafsiran persaudaraan merentas kaum dalam aspek politik kenegaraan dan global seperti berikut:

"Sementara itu nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwwah dinniyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah)." Dr Siddiq memetik sejarah Islam yang memberikan amanah pentadbiran kepada individu yang berkelayakan dari sudut profesion tetapi mereka daripada golongan agama selain Islam:

"Dr Hamid ‘Abdu ‘Llah Rabi’ dalam ulasannya terhadap manuskrip Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik oleh Shahab al-Din Ahmad ibn Muhammad ibn Abi al-Rabi’ yang ditulis untuk Khalifah al-M’tasim bi ‘Llah al-’Abbasiy, menyebut bahawa zaman pemerintahan al-Ma’mun dicirikan oleh tahap toleransi yang luar biasa sehingga jawatan Perdana Menterinya disandang oleh seorang Katolik iaitu Fadl Ibn Marwan (Rabi’ Hamid ‘Abdu ‘Llah, 1983:240-241)."

Dalam isu Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan Malaysia, maka riuhlah orang Pas dan UMNO mendendangkan bagaimana usaha ini bakal meruntuhkan hegemoni Islam di negara ini.

Bagi kebanyakan orang Melayu, hanya orang Melayu yang layak menjawat portfolio terpenting. Tidakkah mereka sedar yang orang Melayu UMNO juga yang merompak khazanah harta negara dengan skandal 1MDB dan Tabung Haji dengan bantuan pegawai-pegawai tinggi yang semuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam?

Dengan kata-kata bernas, matang dan bertamadun demikian, di manakah kumpulan-kumpulan reformis Islam dalam menegakkan nilai-nilai Islam yang bakal menyelamatkan kekeruhan hubungan kaum serta membangun negara dengan visi serta misi yang semulia ini?

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur