Kalimah ALLAH: Kabinet Tun M putuskan selesai luar mahkamah - Anthony

Anthony (tengah) pada sidang akhbar di Seremban.
Anthony (tengah) pada sidang akhbar di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kabinet yang memutuskan untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH di Sarawak di luar mahkamah dan bukannya atas permintaan DAP seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan Muhyiddin mengaitkan DAP dalam isu itu adalah tidak adil.

"Siapa yang dia (Muhyiddin) maksudkan? Pada ketika itu saya juga ada dalam kabinet dan saya tak pernah bangkitkan isu itu.

"Malah, keputusan untuk cuba selesaikan isu itu di luar mahkamah sebenarnya keputusan kabinet dan mungkin dia tak hadir ketika mesyuarat kabinet yang membuat keputusan itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Nama Baru Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin di sini pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mahu ia dibawa ke Mahkamah Tinggi yang kemudian memutuskan penggunaan kalimah ALLAH dibenarkan kepada penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Justeru katanya, tidak sepatutnya Muhyiddin meletakkan beban itu kepada DAP saja dan ia jelas ada tujuan politik tertentu.

"PN tiada modal selain memainkan atau mengapikan sentimen perkauman dan agama.

"Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri yang kabinet secara tegas mempertahankan bahawa isu agama perlu ditangani dengan sensitif dan baik," katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Seremban berkata, sudah tentu kabinet selaku pembuat keputusan tertinggi dalam negara sentiasa mempertahankan kedudukan agama Islam dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, isu tersebut perlu ditangani dengan baik dan harmoni dalam keadaan Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

"Jadi kita harap isu-isu seperti ini diuruskan dengan berhemah dan baik tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendedahkan ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah ALLAH membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Kata Muhyiddin, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain- 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.