Muhyiddin dakwa DAP pernah minta selesai kes kalimah ALLAH luar mahkamah

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah ALLAH membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

Menurutnya, permintaan tersebut mahukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah ALLAH.

“Saya tidak bersetuju dan pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah dengan mengikut proses undang-undang.

“Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah ALLAH boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Pada 15 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan melalui KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Tambah Muhyiddin, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021 tetapi kerajaan PN pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes tersebut mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Jelasnya, sudah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan institusi itu boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan kini dalam menarik balik rayuan penggunaan kalimah ALLAH kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam.

Muhyiddin berkata, kerajaan sepatutnya membiarkan kes itu diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan.

“Tujuan pindaan perlu dibuat bagi menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan perlu peka dan ingat bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bukan itu sahaja, beliau turut menjelaskan Raja-Raja Melayu juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan.