Realiti politik membiarkan umat Islam dibuli: Mufti Perlis

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Realiti politik dalam negara sekarang seolah-olah membiarkan umat Islam dibuli, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menulis di laman Facebook beliau, Mohd Asri mempersoalkan adakah wujudnya keadilan apabila suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan mereka yang memimpin pentadbiran hari ini.

Menurutnya, realiti tersebut menjadikan rakyat semakin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran sekarang.

“Inilah realiti yang kelihatan pada hari ini. Pelbagai kenyataan dibuat oleh individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.

“Betapa ramai yang menghina Nabi Muhammad SAW dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan.

“Tapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di Kelantan oleh seseorang yang menceritakan pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam telah menyebabkan beliau ditangkap,” tulis beliau.

Menerusi hantaran tersebut, Mohd Asri dipercayai merujuk kepada Muhammad Zamri Vinoth, seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan pembantu pendakwah terkenal

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima 867 laporan kenyataan pendakwah berbaur penghinaan

Muhammad Zamri Vinoth ditahan polis di Arau awal pagi semalam untuk siasatan kes menghina agama lain menerusi kenyataan dalam akaun Facebook miliknya.

Lelaki berusia 34 tahun yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran di Arau, Perlis susulan beberapa laporan polis dibuat di ibu negara, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihaknya telah menerima sebanyak 867 laporan polis terhadap Muhammad Zamri Vinoth yang didakwa menghina agama Hindu. Muhammad Zamri Vinoth yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis direman selama empat hari.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut mempersoalkan adakah fakta dikeluarkan Muhammad Zamri Vinoth adalah palsu dan adakah beliau menghina agama lain atau ia hanyalah sekadar kisahnya sendiri.

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?

“Tidak pula mereka itu ditangkap. Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?” soal beliau.

Menurutnya, Muhammad Zamri Vinoth banyak menganjurkan program membantu membina hubungan baik antara agama di Perlis termasuk ziarah ke gereja, tokong bahkan menganjurkan pelbagai dialog harmoni di bawah One Centre Malaysia.

“Boleh lihat di media sosial mereka. Ucapan beliau itu hanyalah sedikit cerita pengalaman diri sebelum menganut Islam dibandingkan usaha beliau untuk hubungan antara agama.

“Saya tidak menyalahkan pihak PDRM, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan Umat Islam dibuli,” tegasnya.