Saman MCMC terhadap Google tidak jejas pelaburan RM61 bilion di Malaysia - Fahmi

PUTRAJAYA - Tindakan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung kandungan memudaratkan di YouTube tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat gergasi teknologi itu berjumlah AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan undang-undang itu melibatkan aspek pematuhan terhadap kerangka kawal selia negara bagi melindungi rakyat daripada kandungan memudaratkan dan tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan syarikat itu.
"Ia adalah dua perkara yang berbeza kerana dari segi kawal selia, kita mempunyai satu pandangan yang mana rakyat Malaysia tidak harus didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan Dalam Talian," katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan undang-undang MCMC terhadap Google akan menjejaskan pelaburan syarikat itu di Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam menangani isu kandungan memudaratkan, MCMC akan merujuk pada Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan berkenaan.
"Ia adalah perbincangan beraspek kawal selia, tidak berkait dengan isu pelaburan," katanya sambil menzahirkan harapan agar pihak berkaitan dapat memberikan kerjasama dalam menangani isu itu.
Pada Rabu lepas, MCMC memulakan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.
Menurut MCMC, kedua-dua saman itu melibatkan perkara berbeza membabitkan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.
Pada 4 November lepas, Google mengumumkan pelaburan sebanyak US$15 bilion di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang yang dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan selain menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.
Presiden dan ketua pegawai pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat berkata pelaburan tersebut yang merangkumi tempoh dua tahun iaitu 2027 dan 2028, melibatkan perluasan infrastruktur digital syarikat itu menerusi kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Perluasan itu adalah susulan pembinaan kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini telah beroperasi sepenuhnya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
