Henti beri subsidi gula pasir, tambah subsidi petrol - Shahrir

Harga runcit gula pasir di Malaysia adalah paling rendah berbanding negara ASEAN lain. - Foto Bernama
Harga runcit gula pasir di Malaysia adalah paling rendah berbanding negara ASEAN lain. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tan Sri Shahrir Samad menyarankan supaya kerajaan menghentikan pemberian subsidi pukal bagi gula pasir dan menambah subsidi petrol.

Jelas beliau, ini kerana Malaysia bukan pengeluar gula mentah selain harga yang dijual dengan rendah iaitu RM2.85 sekilogram menyebabkan bahan asas itu diseludup ke luar negara.

Tambahnya, meskipun Thailand merupakan pengeluar gula, namun negara tersebut menjualnya pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Subsidi pukal seperti ini dinikmati juga oleh yang kaya sedangkan mereka tidak perlu kepada subsidi itu.

“Kerana perbezaan ketara harga runcit di antara negara kita dengan negara-negara jiran, gula pasir kita diseludup keluar. Kesimpulannya, subsidi daripada kerajaan kita dinikmati oleh penduduk negara-negara jiran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Untuk rekod, harga runcit gula pasir di Malaysia adalah paling rendah iaitu RM2.85 sekilogram berbanding negara ASEAN lain iaitu Vietnam (RM6.20), Filipina (RM8.53), Kemboja (RM5.37), Myanmar (RM6.41), Indonesia (RM4.30), Singapura (RM6.32), Laos (RM4.13), Brunei (RM6.32) dan Thailand (RM3.20).

Shahrir
Shahrir

Tambah Shahrir, pada 2008 ketika menjawat jawatan Menteri KPDNHEP, beliau telah memansuhkan pemberian subsidi gula pasir.

Bagaimanapun katanya, pada 2009, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan bantuan tunai kepada golongan B40 dan subsidi gula pasir secara bersasar diberikan kepada isi rumah B40.

"Itulah permulaan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang mengumpulkan berbagai subsidi kerajaan yang dahulu dibuat secara pukal ditukarkan kepada subsidi bersasar. Sekarang, kita mundur ke belakang," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai kerajaan tiada hasrat untuk menurunkan had harga siling petrol, Shahrir berkata, meskipun negara mempunyai minyak mentah sendiri, namun pemberian subsidi pukal hanya akan membazirkan kemewahan negara untuk generasi akan datang.

“Negara lain lebih banyak sumber minyak mentah mereka tetapi tetap tidak subsidikan petrol mereka. Yang pernah menghasut nak turun harga petrol semuanya sudah jadi pemerintah. Jadi, sudah faham realiti ekonomi.

“Sekarang, berterus terang dengan rakyat harga runcit petrol tidak boleh turun ke RM1.50 seliter. Bukan kerana BN (Barisan Nasional) yang tidak reti mengurus negara tetapi kerana realiti dan fakta ekonomi,” ujarnya.