Atur projek: SPRM tahan bekas pegawai khas menteri

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai khas menteri kerana disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun tersebut ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit dikatakan menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta pada sekitar 2017.

Tambah sumber lagi, SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan kes berkenaan.

Difahamkan, bekas pegawai khas terbabit juga disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM1.8 juta daripada beberapa syarikat kontraktor kerana membantu bagi mendapatkan projek pembekalan peralatan pesawat pejuang Sukhoi secara rundingan terus dengan kementerian dan projek-projek pembekalan di kementerian terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putajaya pagi esok," katanya.

Artikel Berkaitan: