Dendam, aktiviti gengsterisme punca lelaki ditembak mati

Polis menahan empat suspek percayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembak seorang lelaki di Jalan Bandar 1, Puchong, Selangor pada 11 Mei lalu. (Gambar kecil: Hussein)
Polis menahan empat suspek percayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembak seorang lelaki di Jalan Bandar 1, Puchong, Selangor pada 11 Mei lalu. (Gambar kecil: Hussein)
A
A
A

SERDANG - Polis menahan empat suspek warga tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembak seorang lelaki yang memiliki 21 rekod jenayah di Jalan Bandar 1, Puchong, Selangor pada 11 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya berjaya menahan keempat-empat suspek berusia 30 hingga 40-an pada 12 Mei di sekitar Bandar Kinrara, Puchong.

Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai akibat dendam dan aktiviti gengsterisme.

"Mangsa yang merupakan seorang ahli gengster mempunyai sebilangan rekod jenayah dipercayai dibunuh oleh ahli kumpulan gengster lain.

"Kesemua empat suspek yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan ini telah direman selama tujuh hari sehingga 18 Mei ini," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan yang siap pada 13 julai 2022.

Pada 11 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun ditembak ketika sedang berjalan menuju ke kenderaan selepas makan di medan selera berhampiran.

Mangsa sebelum itu keluar makan bersama rakan-rakannya di medan selera tersebut kira-kira jam 10 malam Rabu.

Polis kemudian menerima aduan daripada orang awam mengatakan seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri di sebelah medan selera terbabit kira-kira jam 12.35 tengah malam.

Semakan mendapati mangsa yang beralamat di Dengkil, Sepang mempunyai 21 rekod jenayah termasuk pernah dihukum di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Mangsa juga pernah ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).