Lelaki miliki 21 rekod jenayah ditembak mati di medan selera

Mangsa maut dipercayai ditembak dalam kejadian di Jalan Bandar 1, Puchong pada Khamis.
Mangsa maut dipercayai ditembak dalam kejadian di Jalan Bandar 1, Puchong pada Khamis.
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki yang memiliki 21 rekod jenayah maut ditembak dalam kejadian di Jalan Bandar 1, Puchong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian kira-kira jam 12.35 tengah malam berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun itu sedang berjalan kaki menuju ke kenderaan selepas makan di medan selera berhampiran.

"Mangsa sebelum itu keluar makan bersama rakan-rakannya di medan selera berhampiran lokasi kira-kira jam 10 malam (Rabu).

"Setelah selesai makan, kira-kira jam 12.35 tengah malam, mangsa dipercayai telah ditembak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, polis yang tiba di lokasi temui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat.

"Semakan mendapati mangsa yang beralamat di Dengkil, Sepang mempunyai 21 rekod jenayah termasuk pernah dihukum di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Mangsa juga pernah ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," ujarnya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian selain usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.