Penajaan korporat mampu kembalikan F1 ke Malaysia

Mokhzani
Mokhzani
A
A
A

PEMINAT sukan permotoran pastinya menginginkan Formula Satu (F1) kembali menggegarkan Litar Sepang Antarabangsa (SIC), namun buat masa ini ia kekal angan-angan, susulan kos penganjuran perlumbaan itu yang tinggi.

Dengan anggaran kos lebih RM200 juta setahun, Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, hasrat menganjurkan semula F1 masih dalam penelitian, apatah lagi nilai Ringgit yang tidak stabil berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan F1 kembali ke SIC dalam masa tiga atau lima tahun akan datang, jika ada pihak korporat yang sanggup menaja kos penganjuran.

“Untuk jadi tuan rumah kita tiada masalah, persoalannya ialah siapa yang akan bayar dan adakah kita mampu atau tidak. Saya tak tahu kosnya sekarang, tetapi pastinya lebih tinggi ketika kita berhenti (menganjur) pada 2017.

“F1 lebih popular sekarang, ia mempunyai penonton baharu selepas siri Netflix 'Formula 1: Drive to Survive' dan lebih banyak negara membida untuk (menganjurkan) perlumbaan itu bagi menonjolkan negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas Rumah Terbuka Aidilfitri MAM di Kuala Lumpur pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan tuan rumah kepada perlumbaan F1 sejak 1999 sebelum kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menjadi penganjur pada 2017 kerana nilai pulangan yang merosot.

Mokhzani berkata, meskipun enam tahun tidak menganjurkan perlumbaan itu, SIC masih dikenali dalam kalangan peminat dan pemandu F1.

“Kita dengar komen daripada pemandu-pemandu itu sendiri, iaitu Sepang adalah salah satu trek mencabar yang mereka mahu ada semula dalam kalendar (perlumbaan). Kami mempunyai hubungan yang baik dengan pihak penganjur, kami mengenali mereka sejak 1996 semasa kami memulakan perbincangan untuk menganjurkan perlumbaan itu, jadi hanya tunggu masa sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata, keutamaan MAM kini ialah memfokuskan pada pembangunan bakat akar umbi dan memastikan semua acara permotoran di negara ini dianjurkan dengan selamat demi memastikan keselamatan pelumba serta penonton.

Sementara itu, Hannah yang memuji usaha itu berkata, lebih banyak perbincangan perlu dilakukan bersama pihak berkepentingan dan industri serta agensi penguatkuasaan untuk mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat terhadap penganjur perlumbaan.