Kerajaan dengar keluhan rakyat - Rafizi

Rafizi (tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di sini pada Ahad.
Rafizi (tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan kerajaan tidak mendengar keluhan rakyat termasuk isu kos sara hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang dibangkitkan bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak tepat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamed Azmin itu tidak boleh dijadikan ukuran dalam menilai prestasi Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Semasa beliau (Azmin) menjadi menteri dulu dengan kesusahan rakyat, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya. Dia bukan sahaja tak dengar keluhan rakyat, komen dekat sosial media pun dia tutup, tak boleh komen.

"Kalau pandangan yang keluar Azmin Ali untuk timbulkan isu konon kerajaan tak dengar keluhan rakyat, saya rasa kita terus mengikuti dengan dekat," katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin pada Sabtu yang mendakwa rakyat mengeluh apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk tidak mampu menyelesaikan menangani isu kos sara hidup dihadapi rakyat.

Rafizi ketika ditanya sama ada prestasi semasa kerajaan akan mempengaruhi undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau berkata, perkara itu akan diketahui selepas undian di enam negeri terlibat selesai.

"Sama ada prestasi PRN bergantung seratus peratus kepada soal ekonomi, itu kita masih pantau dan hanya diketahui dalam undian nanti.

"Walaupun itu hak pembangkang atau sesiapa untuk timbulkan isu namun kerajaan mendengar keluhan rakyat.

"Saya telah mengikut rapat sentimen rakyat mengenai ekonomi sejak 2016 dan setiap bulan mengukur kedudukan ekonomi rakyat melalui soal selidik yang dibuat.

"Setakat ini, sentimen rakyat beransur positif malah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu. Ada peningkatan daripada 30 peratus kini mencecah kepada 41 peratus," katanya.