Sanusi dakwa Mahfuz cuba tumpang populariti

Sanusi (kanan) mencedok lauk kepada pengunjung yang hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
Sanusi (kanan) mencedok lauk kepada pengunjung yang hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar cuba menumpang populariti melalui kes saman fitnah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena ke atas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, ia memandangkan wang bayaran untuk kes saman fitnah itu telah diserahkan kepada peguamnya untuk dibayar kepada Mahfuz pada minggu lepas.

Beliau berpandangan, tindakan Mahfuz meminta bayaran yang dimuat naik di laman sosial sebelum ini hanyalah untuk menumpang popularitinya memandangkan nama Naib Presiden Amanah kini sudah tenggelam.

"Saya sudah serahkan duit kepada peguam saya seminggu lalu. Peguam saya sedang urus dengan peguam dia, itu saya kata hal ini peguam dengan peguam, sebab kita sudah lantik peguam masing-masing.

"Tidak payahlah guna Facebook, TikTok. Tidak ada isu bankrap tidak bayar kerana semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, Mahfuz didakwa membuat publisiti itu kerana bercadang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Saya dengar dia nak bertanding di DUN Derga atau pun di Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang ini, dia tumpang orang itulah," katanya.

Dakwa beliau, Mahfuz sengaja mencari isu untuk menaikkan semula nama, malah ia merupakan strategi politik beliau sejak dari dahulu lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi diberi tiga pilihan dalam menyelesaikan kes tuntutan ganti rugi saman fitnah yang dikemukakan Mahfuz.

Mahfuz berkata, Muhammad Sanusi perlu membayar segera RM120,000 seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya atau beliau bakal berdepan notis kebankrapan yang akan difailkan ke atasnya sekiranya gagal berbuat demikian.

Menurutnya, tuntutan RM120,000 akan dinaikkan kepada RM240,000 sekiranya Muhammad Sanusi berhasrat untuk mengemukakan penangguhan atau rayuan berhubung keputusan mahkamah berkenaan.

Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000

Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan masuk campur urusan peguam sepertimana yang dilakukan ketika ini oleh Mahfuz.

Beliau turut menyifatkan pengaruh politik Mahfuz juga sudah tumpul sehingga memaksa beliau 'mencakar' orang berpengaruh.

"Dulu dia 'cakar' Tun Mahathir Mohamad, itu lah perangai Mahfuz yang saya kenal. Siapa yang popular dia akan pergi cakuk. Jadi saya serah kepada para pengundi untuk menilai tokoh politik itu," katanya.