'Bayar segera, notis bankrap atau tuntutan digandakan'

Muhammad Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diberi tiga pilihan dalam menyelesaikan kes tuntutan ganti rugi saman fitnah yang dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, Muhammad Sanusi perlu membayar segera RM120,000 seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya atau beliau bakal berdepan notis kebankrapan yang akan difailkan ke atasnya sekiranya gagal berbuat demikian.

Menurutnya, tuntutan RM120,000 akan dinaikkan kepada RM240,000 sekiranya Muhammad Sanusi berhasrat untuk mengemukakan penangguhan atau rayuan berhubung keputusan mahkamah berkenaan.

“Saya akan bincang dengan peguam dalam masa terdekat untuk meneruskan tindakan yang bersesuaian termasuk menyita aset Menteri Besar Kedah sekiranya beliau masih menangguh bayaran saman tersebut.

“Saya akan tunggu nasihat peguam sama ada akan failkan kebankrapan terhadap Sanusi atau sita harta beliau dengan nilai RM120,000,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah di sini pada Khamis.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi meminta Mahfuz merujuk dan berurusan dengan peguamnya untuk sebarang pembayaran ganti rugi berkenaan dan bukan secara terus kerana kes berkenaan diuruskan oleh peguam masing-masing.

Bagaimanapun Mahfuz tegaskan, ia sudah melebihi 14 hari daripada tempoh bayaran saman dan sepatutnya Muhammad Sanusi tidak perlu menunggu untuk berurusan melalui peguam dengan peguam.

“Muhammad Sanusi ada pilihan undang-undang. Beliau boleh pindahkan wang itu terus ke akaun saya, iaitu RM120,000 campur RM15,000 sebagai kos mahkamah dan RM10,000 kos guaman menjadikan keseluruhan RM145,000. Kemudian maklum menerusi WhatsApp dan selesai,” katanya lagi.

Menurutnya, memandangkan kes berkenaan sudah melepasi tempoh yang sepatutnya, Mahfuz akan meminta peguam yang dilantik untuk bertindak.

“Kalau Muhammad Sanusi mahu selesai melalui peguam dengan peguam pun boleh, beliau boleh beri duit itu kepada peguam saya dan kemudian peguam akan serahkan kepada saya, tetapi yang itu pun dia tidak buat,” jelasnya.

Mahfuz turut kesal apabila permohonan maaf yang sepatutnya dilakukan Muhammad Sanusi secara terbuka juga masih belum dilakukan.

Pada 23 April, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.

Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Saman fitnah: Sanusi minta Mahfuz rujuk peguam

ARTIKEL BERKAITAN:Mahfuz ingatkan Sanusi bayar RM120,000

ARTIKEL BERKAITAN:Saman fitnah: Sanusi diarah bayar RM120,000 kepada Mahfuz