E- Mutiara pertimbang jawatan sesuai untuk pemandu putus tangan

Laporan Sinar Harian pada 15 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 15 April lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sedang mempertimbangkan untuk memberi jawatan yang bersesuaian kepada seorang pemandunya yang putus tangan kanan selepas terlibat dalam kemalangan pada 15 April lepas.

Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata mangsa, Mohamad Amiruddin Azhar, 26, dari Kampung Kota, di sini, merupakan pemandu bas henti-henti Mutiara Rentas Desa (MRD) yang telah berkhidmat hampir setahun.

Che Ibrahim berkata, memandangkan Mohamad Amiruddin masih muda selain merupakan pekerja yang berpotensi, E-Mutiara berkemungkinan akan menawarkan jawatan yang lebih sesuai sebaik beliau pulih dan kembali bekerja.

"Setakat ini kita telah memberi sumbangan peribadi kepada mangsa, selain pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga dalam proses untuk membayar faedah pampasan serta bantuan tangan palsu.

"Memandangkan beliau (pemandu) hilang tangan kanan, mustahil baginya untuk kembali memandu bas. Oleh itu, kami akan menawarkan jawatan lain yang bersesuaian dengan keadaan beliau selepas kembali pulih,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Ibu Pejabat E-Mutiara di sini pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Mohamad Amiruddin putus tangan kanan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman) di Pasir Puteh.

Berikutan kejadian itu, Che Ibrahim berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan sesi dialog dari semasa ke semasa terutama dengan 170 pemandunya bagi meningkatkan keselamatan termasuk penumpang.

"Dari segi pengurusan bas, setakat ini 67 buah bas di bawah kelolaan E-Mutiara dilengkapi dengan Sistem Pengurusan Kenderaan dengan had kelajuan telah ditetapkan dan diselaraskan iaitu pada 90 kilometer sejam.

"Malah, setiap bas juga dilengkapi dengan peranti penjejakan kereta GPS bagi membolehkan ibu pejabat dapat memantau cara pemanduan yang dilakukan. Sebolehnya tidak mahu berlaku sebarang kemalangan membabitkan bas kami,” katanya. - Bernama