Naikkan caruman KWSP majikan: Sekadar tampung hari tua

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini ada dikemukakan kepada kerajaan. (Gambar kecil: Kamarul Baharin)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini ada dikemukakan kepada kerajaan. (Gambar kecil: Kamarul Baharin)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penambahan caruman majikan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan untuk membolehkan pekerja memiliki rumah dan kereta mewah tetapi sekadar menampung kehidupan pada hari tua dan meningkatkan simpanan semasa persaraan nanti, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor.

Beliau berkata, saranan kenaikan daripada Perdana Menteri itu diharap berjaya direalisasikan dan perbincangan segera dengan pihak berkepentingan dapat dilakukan.

“MTUC menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menyemak caruman majikan di dalam KWSP yang akan meningkatkan kadar simpanan pekerja.

“Semakan caruman majikan wajar dikaji kerana kali terakhir caruman majikan dinaikkan adalah pada tahun 2012

“Maka dengan konsep Madani, majikan perlu mempunyai ihsan terhadap pekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa cadangan supaya kadar caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincang oleh kerajaan.

Ujar beliau, cadangan berkenaan sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Sementara itu, menurut Kamarul Baharin, MTUC turut membidas kenyataan daripada pihak majikan yang mendakwa bahawa sejuta pekerja perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka diberhentikan atas alasan caruman majikan bagi KWSP ditingkatkan.

“Ugutan dan amaran daripada pihak syarikat adalah satu andaian yang tidak disertakan dengan data dan hanya cuba menimbulkan persepsi yang buruk terhadap kerajaan.

“MTUC menasihati semua pihak agar tidak memberi gambaran buruk terhadap cadangan ini kerana akhirnya yang mendapat kesan adalah rakyat,” ujarnya.