Naikkan caruman KWSP majikan, PMKS berisiko henti operasi

MEF berharap kerajaan dapat meneliti cadangan menaikkan 20 peratus caruman KWSP majikan yang akan menyebabkan kos operasi syarikat tinggi.
MEF berharap kerajaan dapat meneliti cadangan menaikkan 20 peratus caruman KWSP majikan yang akan menyebabkan kos operasi syarikat tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berisiko menghentikan operasi perniagaan jika kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, cadangan itu akan memberi impak negatif khususnya kepada PMKS.

"Lebih banyak PMKS akan ditutup kerana kos operasi terlalu tinggi dan margin dalam menjalankan perniagaan semakin kecil.

"Syarikat besar, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mungkin tidak mempunyai isu yang begitu besar tetapi PMKS menghadapi isu itu setiap hari.

"Walaupun terdapat hasrat untuk menaikkan kadar caruman KWSP, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri," katanya kepada Sinar Harian.

Syed Hussain turut menyifatkan penambahan caruman kepada majikan sahaja adalah tidak adil.

Ujarnya, sebarang kenaikan caruman KWSP perlu daripada majikan dan pekerja kerana ia adalah tanggungjawab kolektif.

"Kami tiada bantahan jika kerajaan mahu menambah nilai untuk mana-mana kumpulan tetapi perniagaan ketika ini tidak mampu menampung kos tambahan.

"Namun caruman KWSP adalah tanggungjawab kolektif pekerja, majikan dan kerajaan, bukan semata-mata (mengharapkan) majikan sahaja.

"Justeru, MEF berharap kerajaan dapat melihat cadangan berkenaan secara menyeluruh terutama kesan kepada majikan membabitkan PMKS," ujarnya.

Pada Isnin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.