UNI-MLC cadang naikkan caruman KWSP bahagian majikan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus.

Menurut Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal perkara itu merupakan salah satu daripada 12 perkara yang dicadangkan UNI-MLC untuk kerajaan dan majikan tangani dengan kadar segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.

“Menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 kepada 20 peratus terutama bagi pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

“Kenaikan tersebut perlu dalam memastikan pekerja yang mahu bersara kelak mempunyai simpanan secukupnya mengikut keadaan semasa dalam KWSP mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Antara perkara lain yang dicadangkan UNI-MLC adalah menggesa Kerajaan, terutama Kementerian Sumber Manusia mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh.

Jelas Mohamed Shafie, ia bertujuan untuk menyemak dasar dan undang-undang perburuhan agar lebih sesuai dengan keperluan semasa selepas pandemik Covid-19.

Seterusnya, beliau turut menuntut kerajaan menangani masalah kos sara hidup yang meningkat dengan ketara setiap hari ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Pada masa sama, Mohamed Shafie berkata, antara perkara lain yang perlu diberi keutamaan adalah mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun.

“Pada masa kini apabila seseorang pekerja, mereka akan disarakan apabila mencapai umur 60 tahun.

“Jadi, dasar semasa hendaklah disemak bagi membolehkan pekerja bekerja sehingga mereka lengkap 60 tahun dan bukannya ketika permulaan umur 60 tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan juga perlu mengkaji semula bayaran pencen yang rendah kepada pesara Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerana mereka menerima pencen di bawah paras kemiskinan.

Tambah beliau, mengkaji status pencen bekas pekerja-pekerja Bank Simpanan Nasional (BSN) susulan dasar mengkorporatkan bank tersebut juga perlu dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pekerja-pekerja kru filem Malaysia perlu diberi pembelaan kerana kebanyakan mereka tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.

Seterusnya, Mohamed Shafie berkata, pihak kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak pekerjaan, mengutamakan pengambilan pekerja tempatan, mewujudkan lebih banyak taska atau pusat penjagaan kanak-kanak di setiap tempat kerja.

Akhir sekali, beliau turut mendesak parti-parti politik supaya tidak bercakaran, sebaliknya menumpukan memberi perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat dengan mengutamakan keperluan menunaikan janji dan tawaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.