Harimau Malaya bernadi K-Pop, Eropah

Inisiatif Pan-gon mendalami ilmu bersama beberapa pasukan di Eropah adalah sesuatu yang amat penting terutama dalam memberikan suntikan taktikal lebih segar kepada skuad negara.
Inisiatif Pan-gon mendalami ilmu bersama beberapa pasukan di Eropah adalah sesuatu yang amat penting terutama dalam memberikan suntikan taktikal lebih segar kepada skuad negara.
A
A
A

GABUNGAN taktikal K-Pop dan Eropah mungkin dapat dinikmati oleh penyokong bola sepak negara apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berguru beberapa minggu di Sepanyol dan England baru-baru ini.

Sebelum ini kita disajikan dengan falsafah permainan lebih taktikal, pantas dan agresif yang sekali gus menyaksikan perubahan ketara skuad negara di bawah pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Namun, mungkin Pan-gon menyedari apa yang dimilikinya tidak mencukupi dalam usaha menyediakan pasukan mengharungi saingan Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.

Inisiatif Pan-gon untuk mendalami ilmu bersama beberapa pasukan di Eropah adalah sesuatu yang amat penting terutama dalam memberikan angin baharu serta suntikan taktikal lebih segar kepada skuad negara.

Pan-gon bersama barisan kejurulatihannya terlebih dahulu singgah ke Sepanyol pada 17 April lalu dengan kelab gergasi negara itu, Barcelona menjadi tujuan utamanya.

Beliau juga sempat bertemu dengan Pengurus Barcelona, Xavi dan pertemuan empat mata itu sudah tentu digunakan sebaik mungkin untuk menyerap ilmu kelab tersebut yang sememangnya dikenali dengan corak permainan tiki-taka.

Selain itu, Pan-gon juga sempat melawat dua lagi kelab iaitu Espanyol dan Mallorca, serta dibawa ke pusat latihan pasukan utama dan menghadiri seminar oleh jabatan metodologi.

Kembara Pan-gon tidak terhenti di Sepanyol apabila terus terbang ke London, England untuk menyaksikan sesi latihan pasukan West Ham United dan bertemu pengurus kelab tersebut, David Moyes.

Mereka juga turut ke sebuah lagi kelab England iaitu Brighton & Hove Albion bertemu beberapa staf teknikal dan kejurulatihan kelab berkenaan.

Walaupun dalam tempoh yang singkat, sudah tentu banyak yang dapat dipelajari Pan-gon terutama ketika melihat sesi latihan pasukan-pasukan tersebut.

Selain taktikal, kemungkinan apa yang dicari pengendali berusia 54 tahun itu di Eropah adalah dari segi pilihan corak latihan yang boleh diterapkan kepada pemain apatah lagi beliau sememangnya menuntut ketahanan fizikal dan mental, serta disiplin yang tinggi daripada pemain dalam setiap perlawanan.

Persiapan positif

Berbaki kurang sembilan bulan sebelum Piala Asia bermula, skuad negara dilihat berada di landasan positif untuk menghadapi saingan tertinggi Asia itu.

Tahun ini dimulakan dengan persembahan cemerlang dalam aksi persahabatan apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas pasukan di ranking yang lebih baik iaitu Turkmenistan pada 23 Mac lalu.

Skuad negara menewaskan pula Hong Kong 2-0 sekali gus menyaksikan ranking Harimau Malaya melonjak tujuh anak tangga dari kedudukan ke-145 ke-138 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan lalu.

Selepas ini, skuad kendalian Pan-gon akan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Yemen dan Kepulauan Soloman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu Jun nanti.

Persiapan itu kemudiannya diteruskan dengan dua lagi aksi persahabatan pada September sebelum menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka pada Oktober menentang Palestin, Lubnan dan India.

Menghadapi lawan yang dikira antara pasukan yang kuat tentunya menjadi misi Pan-gon yang mengetahui cabaran di Piala Asia bukan mudah apatah lagi dijangka berada dalam satu kumpulan dengan pasukan gergasi Asia.

Majlis undian Piala Asia bakal berlangsung di Doha, Qatar pada 11 Mei ini dengan skuad negara berada di balang keempat bersama Hong Kong, Indonesia, India, Tajikistan dan Thailand.

Pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi akan mengisi balang pertama membabitkan Qatar, Jepun, Iran, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.

Balang kedua pula menyaksikan Iraq, UAE, Oman, Uzbekistan, China dan Jordan manakala enam lagi pasukan iaitu Bahrain, Syria, Palestin, Vietnam, Kyrgyzstan dan Lubnan mengisi balang tiga.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga realistik dan tidak meletakkan harapan tinggi pada Piala Asia nanti dengan hanya mahu skuad negara cuba membawa pulang mata ranking.

Namun, bagi peminat bola sepak negara sudah tentu mahukan keajaiban dapat dicipta.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah Wartawan Sukan Sinar Harian