Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.10 peratus

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.1 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, agihan berjumlah RM2.65 bilion itu bakal memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya ia lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit,” katanya pada sidang akhbar di bangunan TH pada Jumaat.

Sementara itu Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, jumlah agihan berkenaan dikira setelah agensi itu melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.

Beliau menjelaskan, pengiraan dividen adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

"TH telah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.

"Alhamdulillah, usaha ini telah membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan yang berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” ujarnya.

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari pada Sabtu ini menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam, Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH yang lain.

Urus niaga TH pula akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam (Jumaat) sehingga 12 tengah hari (Sabtu) bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan.