Kisah rumah terbuka enam negeri yang 'panas'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

RUPA-rupanya bukan sahaja cuaca di negara ini sedang membahang, malah kisah rumah terbuka anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jemaah menteri turut dilanda ‘suhu panas’.

Siri rumah terbuka sempena Aidilfitri yang bakal berlangsung di enam negeri hingga Mei ini mendapat kritikan pedas daripada beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Penganjuran majlis mega seumpama itu didakwa bertentangan dengan pendirian berjimat cermat Anwar sebelum ini.

Menurut Muhammad Sanusi, jamuan Aidilfitri seharusnya diadakan di Seri Perdana atau sekitar Putrajaya sahaja seperti kelaziman sebelum ini.

Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani akan diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun penganjuran majlis ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, sudah pasti akan terpalit dengan ‘kempen pancing undi’.

Sebenarnya hal itu tidak patut diperbesarkan. Sejarah pilihan raya sebelum ini telah terbukti, biarpun pengundi dipancing dengan ‘gula-gula’ pilihan raya, namun belum tentu ahli politik berjaya membeli undi mereka.

Sekurang-kurangnya pada jamuan hari raya itu nanti, Anwar bukan sahaja boleh bertemu rakyat, malah rakyat juga boleh mengambil kesempatan melihat dengan dekat Perdana Menteri.

Tidak dinafikan dalam penganjuran jamuan besar seperti itu memerlukan modal besar tetapi sedar atau tidak, ramai yang akan mendapat manfaat.

Program yang melibatkan makan-makan sememangnya akan menjadi ‘mahal’. Itu normal.

Jamuan makan ketika menghampiri PRN lebih baik berbanding majlis pecah tanah untuk projek baharu tetapi tiada apa-apa berlaku sebaik sahaja pilihan raya selesai.

Sepatutnya ketika inilah semua ahli politik tanpa mengira parti berlumba-lumba menunjukkan kemampuan mentadbir negeri kepada rakyat.

Percayalah, ramai rakyat ketika ini masih terluka dan belum pulih sepenuhnya daripada pasca Covid-19. Rakyat mahu pemimpin yang mengambil berat dan boleh menjaga mereka dengan baik.

Jadi, berhentilah bertelagah. Mungkin selepas majlis jamuan raya Perdana Menteri selesai, kerajaan negeri boleh buat program yang sama.