Majlis Aidilfitri untuk rakyat, kenapa mesti kecoh?

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SEJAK beberapa hari ini memang kecoh tentang sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di enam negeri.

Tak tahulah, sama ada secara kebetulan atau tidak, keenam-enam negeri tersebut terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti.

Kalau dihitung dari jangka masa yang ada, memang sudah tidak lama sahaja lagi dan sudah tentu semua pihak terlibat terutama parti-parti bertanding sedang giat menyusun strategi masing-masing untuk menang.

Pembangkang seperti biasa, menjadikan isu majlis tersebut untuk mengkritik tindakan kerajaan yang didakwa mahu menggunakan ia sebagai peluang penting meraih sokongan rakyat.

Bahkan, mereka juga mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya gagal mengotakan kata-kata supaya tiada majlis besar-besaran diadakan.

Turut dibangkitkan ialah mengenai penggunaan wang rakyat untuk menganjurkan majlis besar-besaran tersebut yang juga disifatkan sebagai satu pembaziran.

Bagi Merak Jalanan, membazir atau tidak, sebenarnya majlis rumah terbuka sudah menjadi acara rutin bagi semua Perdana Menteri untuk meraikan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan pegangan politik. Cuma bezanya kali ini, ia diadakan di luar Lembah Klang.

Dan jika pada kebiasaannya hanya orang Lembah Klang yang berpeluang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri serta barisan anggota Kabinet, tetapi kali ini, rakyat di enam negeri ini pula diberi peluang bukan sahaja untuk meraikan Aidilfitri, malah dapat bertemu pemimpin-pemimpin negara.

Cuma, bagi pendapat Merak Jalanan, kalau hendak lebih adil kepada semua lapisan masyarakat, elok juga kalau kerajaan buat di seluruh negara. Barulah mencerminkan sebuah kerajaan madani yang sebenar.