Kesabaran teruji setiap kali Aidilfitri

Bermula hari ini dan esok, lebih ramai warga kota akan meninggalkan kediaman mereka untuk beraya di negeri kelahiran sendiri. - Gambar haisan
Bermula hari ini dan esok, lebih ramai warga kota akan meninggalkan kediaman mereka untuk beraya di negeri kelahiran sendiri. - Gambar haisan
A
A
A

MERAK percaya sejak kelmarin lagi ramai yang sudah bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dan bermula hari ini dan esok, lebih ramai warga kota akan meninggalkan kediaman mereka untuk beraya di negeri kelahiran sendiri.

Kesesakan jalan raya bukan cerita baharu dan ia sudah menjadi rutin apabila ada yang terpaksa menempuh tempoh perjalanan yang lama.

Kalau ke Pantai Timur terutamanya ke Kelantan, perjalanan sehingga 15 jam adalah perkara biasa.

Sememangnya kesesakan jalan raya ketika cuti perayaan terutamanya Aidilfitri memang banyak menguji kesabaran dan mental.

Sudahlah menempuh jarak perjalanan yang jauh, keadaan kenderaan seumpama 'merayap' atas lebuh raya membuat ramai jiwa dan raga pemandu serta penumpang teruji.

Sudahlah menahan lapar dan dahaga kerana berpuasa, sikap segelintir pemandu yang tak ada kesedaran sivik tambah mencabar tahap keimanan.

Potong barisan, cilok di lorong kecemasan, memandu secara melulu dan banyak lagi ragam pengguna jalan raya memang boleh mencetuskan amarah jika tak cukup sifat sabar.

Memang Merak akui kadang-kadang kesabaran kita pasti teruji dengan sikap sesetengah orang yang tak reti bahasa itu.

Bila kena situasi macam itu, Merak banyakkan beristighfar dan berselawat supaya kepanasan hati cepat sejuk.

Apa nak buat, kita tetap kena hadap dan paling penting kita sendiri kena berdisiplin ketika di jalan raya.

Biarlah apa yang orang lain nak buat, yang penting kita kena pandu kenderaan dengan berhemah dan selamat sampai ke kampung masing-masing.

Merak doakan semoga perjalanan semua anak perantau yang mahu pulang berhari raya di kampung masing-masing dilindungi ALLAH.

Apa yang penting kita mesti enjoy raya!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!