Nak beli rumah tapi gaji tak layak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU rumah tidak terjual bukanlah satu perkara baharu yang mengejutkan kerana umum mengetahui bahawa kini, kebanyakan kediaman diniagakan pada harga begitu mahal dan di luar kemampuan rakyat Malaysia untuk memilikinya.

Jika diteliti, sungguh mustahil bagi seseorang yang bergaji RM5,000 ke bawah untuk membeli sebuah rumah berharga lebih daripada RM500,000.

Disebabkan oleh faktor kewangan, kebanyakan rakyat memilih untuk menyewa berbanding membeli kediaman sendiri.

Menerusi laporan muka hadapan Sinar Harian pada 15 April, rumah yang berharga RM500,000 hingga RM1 juta antara kediaman yang paling banyak tidak terjual.

Sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak terjual.

Pada 22 November 2019, Sinar Harian melaporkan, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) memaklumkan, untuk tahun 2018, sejumlah 32,313 unit bernilai RM19.8 bilion tidak terjual.

Seterusnya menerusi laporan Pasaran Harta NAPIC pada tahun 2019 pula, memberitahu sebanyak 32,936 unit harta tanah kediaman yang belum terjual dengan anggaran nilai RM20 bilion.

Masalah itu dapat dilihat kian meruncingkan apabila semakin banyak pemaju membina perumahan yang di luar kemampuan rakyat untuk memilikinya.

Bagaimanapun, isu berkenaan bukan terjadi di semua negeri sebaliknya hanya melibatkan beberapa tempat.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan bahawa Johor mencatatkan nilai kediaman tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion dan kemudiannya diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion manakala Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion).

Jelas Ahmad, Melaka sebaliknya muncul sebagai negeri yang menepati nisbah harga mampu milik dengan keupayaan pembeli.

Justeru, kerajaan, pemaju dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan dalam menentukan harga rumah yang sepatutnya dibina mengikut kemampuan rakyat Malaysia untuk memilikinya.

Pemaju perlu meneliti semula keseluruhan faktor semasa iaitu ekonomi, kos dan gaji sebelum mula membuat apa-apa projek perumahan supaya kedua-dua pihak meraih keuntungan.