Sungai tercemar jejas pendapatan nelayan

Beginilah keadaan air sungai di Changkat di Daerah Seberang Perai Selatan. (Gambar kecil: SM Mohamed)
Beginilah keadaan air sungai di Changkat di Daerah Seberang Perai Selatan. (Gambar kecil: SM Mohamed)
A
A
A

NIBONG TEBAL - Lebih 200 nelayan pantai di Changkat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini terjejas sumber pendapatan berikutan masalah pencemaran sungai dan laut yang semakin serius berlaku di kawasan itu.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamed Idris berkata, masalah pencemaran berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan gagal diambil tindakan oleh kerajaan negeri ini atau jabatan terlibat walaupun berpuluh aduan dikemukakan oleh nelayan termasuk SAM.

Menurutnya, masalah itu bukan saja telah menyebabkan ikan, udang, kerang, siput, sotong dan ketam yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di sini semakin berkurangan, tetapi paling membimbangkan hasil tangkapan mereka kadangkala merosot mencecah 70 peratus.

"Tinjauan yang dibuat SAM mendapati air sungai dan laut di kawasan berkenaan terlalu kotor dan berbau busuk.

"Di samping warnanya yang hitam pekat dan berminyak berbagai bahan buangan termasuk plastik terapung memenuhi permukaan air serta mendap di dalam lumpur," katanya di sini, semalam.

Keadaan air sungai di Changkat yang hitam pekat, busuk dan berminyak.
Keadaan air sungai di Changkat yang hitam pekat, busuk dan berminyak.

SM Mohamed berkata, keadaan itu berlaku dipercayai berpunca dari pelepasan sisa buangan dari kilang kelapa sawit, ladang ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah yang terdapat di daerah itu.

Katanya, SAM amat kesal walaupun kejadian ini sudah lama mencemarkan alam sekitar dan mengancam hidupan laut serta kehidupan nelayan di daerah berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya percaya jika keadaan ini terus dibiarkan, nelayan-nelayan pantai di kawasan tersebut yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan sungai dan laut akan terputus mata pencarian mereka sekali gus hilang sumber pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga.

Tambahnya lagi, SAM turut bimbang hutan paya bakau yang terdapat di kawasan itu juga akan terancam dan musnah jika pencemaran ini berterusan.

"Oleh itu, kami menggesa kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),Jabatan Alam Sekitar (JAS),Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak segera bagi menangani masalah ini.

"Undang-undang yang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan pemantauan yang berterusan hendaklah dilakukan oleh pihak berkenaan dengan lebih kerap agar kejadian ini tidak berulang," katanya.