10,815 meter padu sisa najis babi dikutip sejak Mei

H'ng Mooi Lye
H'ng Mooi Lye
A
A
A

GEORGE TOWN – Sebanyak 10,815 meter padu sisa najis babi berjaya dikutip daripada ladang ternakan babi di seluruh Pulau Pinang bagi tempoh Mei hingga September tahun ini susulan pelaksanaan arahan penghantaran sisa ke Loji Biogas Ampang Jajar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye, berkata berdasarkan rekod kutipan, antara 46 hingga 51 ladang mempunyai rekod penghantaran sisa setiap bulan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, jumlah sisa yang dikutip setiap bulan adalah antara 1,890 meter padu hingga 2,550 meter padu.

“Pada Mei 2026, sebanyak 2,550 meter padu sisa najis babi dikutip daripada 46 ladang, diikuti Jun sebanyak 2,385 meter padu daripada 49 ladang.

“Bagi Julai, sebanyak 1,950 meter padu dikutip daripada 51 ladang, Ogos sebanyak 2,040 meter padu daripada 50 ladang manakala September sebanyak 1,890 meter padu daripada 50 ladang,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Sobri Saleh (Pas-Permatang Berangan) berhubung tahap pematuhan arahan penghantaran sisa kumbahan ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar yang berkuat kuasa sejak Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, rekod kutipan bagi tempoh sama turut menunjukkan terdapat beberapa ladang yang tidak mempunyai rekod penghantaran sisa atau masih mempunyai baki sisa yang belum dikutip.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan itu tidak semestinya menunjukkan ketidakpatuhan terhadap arahan berkenaan kerana sebahagian ladang mempunyai populasi ternakan kurang daripada 50 ekor babi dan tidak memerlukan kutipan pada bulan tertentu.

“Pada Mei, sebanyak 13 ladang tidak mempunyai rekod kutipan dengan tujuh daripadanya masih mempunyai baki sisa belum dikutip manakala enam lagi tidak memerlukan kutipan kerana populasi ternakan kurang daripada 50 ekor.

Artikel Berkaitan:

“Pada Jun, sebanyak sembilan ladang tidak memerlukan kutipan atas faktor sama manakala Julai mencatatkan dua ladang, Ogos sembilan ladang dan September enam ladang,” katanya.

Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah ladang babi di Tingkat Selamat 4 kerana gagal mematuhi arahan penghantaran sisa tersebut.

Menurutnya, penternak terbabit telah mengurangkan populasi ternakan kepada kira-kira 50 ekor dan dijangka mengosongkan ladang berkenaan dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!